PUTRAJAYA, 19 Jan — Tindakan penguatkuasaan serta merta akan diambil terhadap nelayan warga asing yang masih gagal memohon Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) selepas tempoh moratorium diberikan tamat pada 31 Dis tahun lepas.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata tindakan itu selaras dengan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Antara Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia Mengenai Pengurusan Pekerja Asing Kali Kelima, Bilangan 1 Tahun 2021.

Menurutnya, mesyuarat itu memutuskan supaya moratorium untuk memperolehi PLKS diberikan kepada warga asing yang bekerja di atas vesel penangkapan ikan tempatan sehingga 31 Dis 2021 sahaja. 

“Selepas tarikh tersebut, PLKS jangka pendek adalah diwajibkan bagi semua warga asing yang bekerja di atas vesel penangkapan ikan tempatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Khairul Dzaimee berkata sehingga 31 Dis 2021, sebanyak 6,000 permohonan PLKS kepada nelayan warga asing telah diluluskan daripada 6,298 permohonan yang dikemukakan.

Kadar bayaran PLKS bagi sub sektor perikanan atau nelayan adalah berjumlah RM505 dan tambahan RM500 akan dikenakan untuk setiap permohonan baharu bagi tujuan bayaran pertukaran pas.

“Imigresen menasihatkan kepada semua majikan untuk memastikan semua pekerja masing-masing memiliki PLKS yang sah dan berurusan terus dengan Jabatan Imigresen dan Jabatan Perikanan tanpa melalui pihak ketiga,” katanya. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here