KUALA LUMPUR, 28 Sept — Kebajikan dan kesejahteraan penggiat sektor ekonomi gig terutama penunggang p-hailing merupakan antara harapan menjelang pembentangan Bajet 2023 pada 7 Okt ini, bagi merancakkan lagi sektor berkenaan.

Penunggang p-hailing sebagai contohnya memberi cadangan menerusi Tuntutan Hak Penghantar supaya mewujudkan satu badan kawal selia bagi menyelesaikan isu-isu membabitkan golongan itu, menjadi penghubung antara pihak berkepentingan dalam industri yang bermatlamat mengeluarkan garis panduan, peraturan yang lebih adil serta realistik dan mengelakkan penindasan.

Presiden Persatuan Penghantar P-hailing Malaysia (Penghantar) Zulhelmi Mansor berkata permasalahan berhubung sektor pekerjaan itu akan terus berlaku sekiranya kerajaan tidak memberikan jaminan pengiktirafan bagi sektor itu dengan pewujudan polisi atau akta.

“Sebab itu dalam resolusi pertama (dalam Tuntutan Hak Penghantar) kami gesa dan memberikan cadangan kepada kerajaan untuk mengiktiraf status pekerjaan kami sebagai suatu jaminan pembelaan dan perlindungan di bawah akta berkaitan,” katanya kepada Bernama.

Zulhelmi berkata mekanisme yang dicadangkan menerusi Pelan Penambahbaikan Ekosistem Ekonomi GIG P-Hailing perlu dipertimbangkan untuk dilaksanakan segera oleh kerajaan.

“Pelan jangka pendeknya adalah penetapan harga lantai kadar upah bayaran perkhidmatan pengambilan dan penghantaran pesanan perlu dibuat segera serta penambahbaikan Sistem Peta Digital di aplikasi syarikat penyedia supaya jarak perjalanan selaras dengan aplikasi Google atau Waze,” katanya.

Beliau berkata insentif khas RM500 bagi meringankan beban kos penyelenggaraan motosikal, lanjutan subsidi 80 peratus Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi 2023 dan pemerkasaan pakej caruman skim I-Saraan KWSP adalah antara harapan penggiat industri ekonomi gig.

Berkongsi nada sama, Mohd Kamarul Ahmad Kamil, 29, berharap kerajaan mampu mencari solusi dalam menangani isu bayaran rendah para penunggang p-hailing khususnya apabila kos sara hidup kini yang semakin meningkat.

“Bayaran sekarang tidak menentu, susah untuk anggar pendapatan bulanan. Disebabkan harga barang naik, terasa juga kurang permintaan pengguna yang menggunakan perkhidmatan p-hailing ini,” katanya.

Ekonomi gig merujuk kepada trend sistem pasaran bebas yang memberi kebebasan kepada organisasi dan pekerja untuk menjalani kontrak kerja suka sama suka tanpa perlu menggajikan pekerja sepenuh masa, selain peluang bekerja secara fleksibel.

Sektor ekonomi gig di Malaysia lebih banyak dikaitkan dengan penunggang p-hailing, namun banyak lagi pekerjaan yang termasuk dalam sektor itu. 

Pereka grafik sambilan, Johan Faizal Azuar, 34, yang turut terlibat dalam sektor berkenaan berpandangan bahawa kerajaan wajar memperkukuhkan sektor ekonomi gig berikutan industri itu disifatkan sebagai ‘norma baharu’ yang akan terus berkembang dalam era digital kini.

Beliau mencadangkan kerajaan memperuntukkan sedikit dana dan mempergiat pelaksanaan program di bawah sektor itu melalui inisiatif seperti program peningkatan kemahiran, penyediaan platform hebahan dan insentif bagi membantu golongan yang bekerja sendiri.

“Saya mampu sara diri dan keluarga sekarang ini pun dibantu dengan kemahiran seni reka grafik saya. Meskipun pendapatan tidak tetap, ia beri sedikit kelegaan kepada kami untuk menjana pendapatan tambahan,” katanya.

Beliau berkata kerajaan diharapkan dapat melihat mereka yang bekerja di bawah industri ekonomi gig secara keseluruhan berikutan golongan itu juga sedang ‘bangkit’ daripada pasca-COVID-19.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here