PUTRAJAYA, 28 Sept — Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengesan kegiatan penjualan kad Komunikasi Medan Dekat (NFC) Touch ‘n Go (TnG) di platform pasaran dalam talian pada harga berlipat kali ganda.

Kad NFC TnG dijual pada harga RM10 di lokasi stesen minyak terpilih atau menerusi transaksi dalam talian menggunakan aplikasi TnG. Penjualan kad itu sejak April tahun ini bagaimanapun dilaporkan mengalami bekalan yang terhad di saluran berkenaan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP telah menerima empat aduan rasmi mengenai kad NFC TnG dan mengesan 13 iklan jualan kad berkenaan membabitkan beberapa platform dalam talian.

Beliau dalam satu kenyataan hari ini mendedahkan berdasarkan siasatan awal, penjualan kad NFC TnG itu turut membabitkan pekerja di kaunter pembayaran sebuah stesen minyak. 

“Individu berkenaan didapati menjual sekeping kad NFC TnG yang asalnya berharga RM10 tanpa ada sebarang kredit di dalamnya pada kadar lebih lima kali ganda, menerusi platform pasaran dalam talian,” katanya.

Nanta berkata berdasarkan semakan dan maklumat daripada pengelola platform pasaran dalam talian, sebanyak 11 premis merangkumi kediaman peribadi serta bangunan perniagaan diperiksa berhubung kes berkenaan.

Beliau berkata sebanyak enam notis mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 telah dikeluarkan kepada pihak terbabit, yang antara lain menuntut maklum balas atau penjelasan rasmi dikemukakan kepada Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP. 

“Kegagalan berbuat demikian, pihak terbabit boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 21(5) AKHAP 2011 kerana enggan atau gagal mengemukakan maklum balas,” katanya.

Nanta berkata pihak KPDNHEP dijangka mengadakan pertemuan dengan syarikat TnG minggu ini bagi mendapatkan status kaedah semasa penjualan kad NFC TnG dan status isu kekurangan bekalan kad NFC TnG.

Kad NFC TnG membolehkan pengguna membuat tambah nilai pada bila-bila masa dan di mana-mana saja daripada aplikasi Touch ‘n Go eWallet yang terdapat di peranti mudah alih. Malah, pengguna kad dan perkhidmatan itu juga tidak dikenakan sebarang surcaj apabila tambah nilai dilakukan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here