PUTRAJAYA, 6 Okt (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ‘agenda tambahan’ termasuk berkaitan pembubaran Parlimen mungkin dibincangkan pada majlis menghadap Yang di-Pertuan Agong hari ini jika berkesempatan.

Beliau berkata kebiasaannya pertemuan dengan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dilakukan setiap minggu, sehari sebelum mesyuarat Kabinet bagi membincangkan perihal berkaitan Kabinet.

Menurutnya, perbincangan itu mungkin mengambil masa yang panjang memandangkan banyak perkara yang akan diterangkan selain beliau menerima pesanan daripada Seri Paduka.

Semasa ditemui selepas meninjau persiapan Bajet 2023 di Kementerian Kewangan di sini hari ini, Ismail Sabri yang ditanya sama ada tarikh pembubaran Parlimen akan dibawa pada majlis menghadap hari ini berkata: “Tak pasti lagi nak bawa atau tak. Kalau bincang hal Kabinet panjang sangat, pasal Kabinet sahaja.”

Ditanya lagi sama ada terdapat agenda “tambahan atau khusus” semasa menghadap Agong, Ismail Sabri berkata: “Kita tengok, kalau bincang sampai Maghrib tak sempat nak bincang hal lain”.

Ismail Sabri dijangka menghadap Seri Paduka pada pukul 4 petang ini di Istana Negara. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here