KUALA LUMPUR, 6 Okt — Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan pemaju infrastruktur pergudangan Taiwan, Ally Logistic Property Co Ltd (ALP) telah memeterai perjanjian pemegang saham untuk membangunkan hab logistik moden di Klang, Selangor.

KWSP akan melabur sehingga 70 peratus kepentingan dalam syarikat usaha sama itu, ALP BR (Malaysia) Sdn Bhd (ALP BR) manakala baki 30 peratus akan dipegang oleh ALP.

Dalam satu kenyataan bersama hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata hab ini akan memberi peluang kepada KWSP untuk melabur dalam aset logistik berkualiti tinggi dan menjana pendapatan sewa yang stabil untuknya dan ALP.

“Pemilihan ALP sebagai rakan kongsi pelaburan kami untuk hartanah logistik dipacu oleh reputasi dan pengetahuannya sebagai pakar sektor global, yang memiliki portfolio berkualiti tinggi. 

“Usaha sama ini memberikan peluang strategik kepada KWSP untuk memacu pertumbuhan sektor logistik, yang dijangka terus meningkat, didorong oleh pasaran e-dagang yang rancak dan kepelbagaian rantaian bekalan oleh pemain utama,” katanya.

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif ALP Charlie Chang berkata ALP kini sedang berusaha untuk mengembangkan aset berkualitinya ke Asia Tenggara dan melihat Malaysia sebagai titik permulaan yang baik untuk memperkenalkan infrastruktur logistik moden.

Menurut kenyataan itu, hab itu akan dibangunkan di atas tanah pegangan bebas seluas 10.92 hektar di Bandar Bukit Raja, dengan keluasan kasar melebihi 1.8 juta kaki persegi dan 100,000 kedudukan palet dalam zon Sistem Penyimpanan dan Pengambilan Automatik.

Hab ini dijangka siap menjelang suku ketiga 2024 dan setelah pembinaan siap, ALP BR akan memajakkan seluruh gudang kepada ALP di bawah perjanjian pajakan induk selama 15 tahun.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here