PUTRAJAYA, 6 Okt — Murid digalakkan menguasai lebih daripada satu bahasa sebagai persediaan untuk mereka berdepan dengan dunia yang penuh persaingan pada masa kini, kata Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin. 

Beliau berkata mereka yang menguasai banyak bahasa dengan baik mempunyai kelebihan berbanding yang lain kerana dalam konteks dunia tanpa sempadan hari ini, setiap bahasa itu memainkan peranan. 

“Pada masa yang sama kita juga perlu ingat bahawa dunia sekarang ini luas saingannya, sebab itu secara asasnya sesiapa yang menguasai bahasa dengan baik mereka mempunyai kelebihan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Dekad Bahasa Kebangsaan Sektor Pendidikan KPM 2022 di sini hari ini.

Radzi pada masa sama berkata bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan juga perlu dimartabatkan kerana dalam konteks negara ia adalah untuk pembangunan, manakala dalam konteks kemasyarakatan bahasa kebangsaan diletakkan sebagai tunjang perpaduan. 

Katanya sebagai bahasa kebangsaan, bahasa Melayu merupakan bahasa asas kepada rakyat negara ini dan sesuatu yang merugikan jika tidak ditingkatkan penguasaannya.

Mengulas lanjut, beliau berkata di peringkat Kementerian Pendidikan (KPM), pihaknya sentiasa menekankan berkaitan penggunaan bahasa yang terbaik apabila bercakap tentang komunikasi polisi dan dasar. 

“Bukan sahaja dalam konteks penulisan, tetapi penyampaian lisan juga kita berikan keutamaan untuk memastikan mesej atau dasar yang dirangka ini bila diterjemah atas penulisan, ia dapat difahami dan dihayati oleh mereka yang membacanya,” katanya. 

Radzi berkata KPM juga sentiasa menjalankan pelbagai inisiatif seperti aktiviti penulisan dokumen rasmi kerajaan, pertandingan melafazkan pantun, bicara berirama dan nyanyian lagu puisi, selain menjalin kerjasama dengan pihak luar untuk mengasah bakat penulisan dan sayembara puisi dalam kalangan pelajar.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here