PUTRAJAYA, 6 Okt — Satu bentuk mekanisme kawalan yang teratur perlu diwujudkan terlebih dahulu oleh pihak yang sedang meneliti cadangan perindustrian ganja dan ketum, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Beliau berkata langkah itu adalah bagi melindungi rakyat Malaysia daripada sebarang kemudaratan akibat penyalahgunaan dan penagihan bahan-bahan psikotropik yang terdapat pada kedua-dua tanaman tersebut.

“Walaupun ada pihak yang mencadangkan supaya dibenarkan pengeksportan ketum ke negara jiran, saya berpandangan bahawa sebarang tanaman untuk tujuan eksport akan menjadi satu tanaman komoditi,” katanya dalam majlis perasmian Simposium Sains Penagihan Dadah Kebangsaan Tahun 2022 bertema “Kongsi Fakta, Sayangi Keluarga Malaysia” anjuran Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) Kementerian Dalam Negeri Datuk Abdul Halim Abdul Rahman. Turut hadir Ketua Pengarah AADK Sutekno Ahmad Belon.

Hamzah berkata selain ganja, kawalan terhadap tanaman ketum juga telah dilaksanakan sejak 2003 dengan penyenaraian alkaloid mitragynine yang terdapat dalam tanaman ketum sebagai bahan psikotropik yang memberi kesan khayal ke atas penggunanya di bawah Jadual Ketiga Akta Racun 1952.

Hamzah berkata kawalan tersebut merangkumi kawalan khas ke atas aktiviti pengimportan, penjualan, pembekalan, pemilikan dan penggunaannya di bawah Peraturan-Peraturan Racun (Bahan-bahan Psikotropik) 1989.

Beliau berkata individu yang melakukan kesalahan di bawah akta itu jika disabitkan kesalahan akan didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi empat tahun atau kedua-duanya sekali.

Menurutnya Malaysia berdepan cabaran baharu berkaitan perubahan polisi dan dasar dadah di negara serantau contohnya Thailand yang telah mengisytihar untuk mengeluarkan ganja daripada senarai dadah narkotik perundangan pada 9 Jun lepas.

“Perkembangan ini telah membangkitkan cabaran baharu kepada Malaysia dalam mengekang aktiviti-aktiviti penyeludupan, pengedaran, penagihan dan penyalahgunaan dadah di dalam negara,” katanya.

Hamzah berkata terdapat kebimbangan sebilangan rakyat Malaysia yang melancong ke Thailand akan mudah terdedah kepada produk-produk berasaskan ganja dalam bentuk makanan, minuman dan suplemen yang dijual bebas di negara itu.

“Tambahan lagi, produk-produk berasaskan ganja dalam bentuk makanan, minuman dan suplemen ini mungkin akan diseludup masuk ke negara kita untuk kepada orang ramai.

“Kita bimbang ada antara kita yang menjadi ketagih kepada ganja disebabkan pengambilan produk-produk ini tanpa sedar,” katanya.

Hamzah berkata penyalahgunaan dadah dan bahan telah memberi kesan yang besar terhadap penjagaan kesihatan, perkhidmatan awam, ketenteraman awam dan keselamatan negara.

Katanya bagi mengurangkan risiko kepada rakyat, kerajaan telah menyediakan sejumlah peruntukan setiap tahun untuk membendung penyeludupan dan pengedaran dadah, memberi kesedaran dan advokasi kepada masyarakat dan juga untuk merawat pulih tabiat ketagihan dadah.

“Pada 2021, daripada 123,139 penagih dadah dan bahan yang dikesan di Malaysia, 66 peratus atau 81,112 orang adalah dalam kalangan mereka yang berumur 19-39 tahun.

“Angka ini menunjukkan bahawa penglibatan golongan ini dalam masalah penagihan dan penyalahgunaan dadah dan bahan adalah tinggi dan amat membimbangkan,” katanya.

Hamzah berkata 53 negara ahli Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah menyokong satu usul iaitu mengeluarkan ganja dan resin ganja dari Jadual IV Konvensyen 1961 pada 2020 ketika persidangan 63rd Commission on Narcotics Drugs (CND).

“Walau apa-apapun keputusan persidangan CND tersebut, pendirian Malaysia mengenai status kawalan ke atas ganja dan semua bahan-bahan berkaitan ganja dalam negara masih kekal di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952. Tindakan undang-undang tetap akan diambil ke atas mana-mana pihak yang melanggar peruntukan di bawah akta ini,” katanya.

Beliau berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) kini giat menggerakkan Kempen Kita Demi Negara bagi memberi kesedaran kepada masyarakat untuk bersama-sama memikul tanggungjawab menjaga keselamatan dan memelihara ketenteraman negara termasuk juga untuk membendung isu penagihan dan penyalahgunaan dadah dan bahan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here