KUALA LUMPUR, 6 Okt — Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mengesahkan menteri-menteri daripada Perikatan Nasional (PN) telah menyerahkan surat kepada Istana Negara bagi menyatakan ketidaksetujuan melaksanakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada tahun ini.

Menurut Menteri Alam Sekitar dan Air itu, beliau dimaklumkan surat berkenaan telah diterima oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, semalam.

“Ya (surat dihantar)… itu pandangan kami (tidak bersetuju PRU15 diadakan tahun ini)… kami menghantar surat semalam dan Yang di-Pertuan Agong menerimanya. Semua menteri PN (menandatangani surat),” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, Tuan Ibrahim mengiringi Al-Sultan Abdullah yang berkenan berangkat ke Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di Ampang bagi meninjau sendiri persiapan dan kesiapsiagaan berdepan Monsun Timur Laut 2022/2023 yang dijangka bermula pada pertengahan November 2022 dan berakhir pada Mac 2023.

Sementara itu, Naib Presiden Bersatu Datuk Dr Radzi Jidin turut mengesahkan perkara itu dan menyatakan barisan menteri PN pada masa ini lebih memberikan tumpuan kepada perkara-perkara berkaitan kebajikan rakyat.

“Mengambil kira ketidaksesuaian masa untuk dilaksanakan, kami menteri-menteri dari PN telah mengutus warkah kepada Yang di-Pertuan Agong memohon agar dipertimbangkan supaya pilihan raya tidak diadakan dalam masa terdekat jika disembahkan permohonan untuk diadakan pilihan raya,” katanya kepada media selepas Majlis Sambutan Dekad Bahasa Kebangsaan Sektor Pendidikan KPM tahun 2022 di Putrajaya hari ini. 

Dalam perkembangan lain, Radzi yang dipilih sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Calon Bersatu berkata beliau telah menerima senarai nama calon parti itu untuk PRU15 dari semua bahagian di seluruh negara dan akan membuat penelitian dan tapisan sebelum keputusan akhir dibuat. 

“Ada kriteria-kriteria kita apa yang paling penting adalah calon kita bersih dan berintegriti, selaras dengan hasrat dan objektif parti memperjuangkan sebuah negara yang penuh integriti, cekap pemerintahan dan mempunyai tadbir urus yang baik,” katanya.

Beliau berkata calon daripada Bersatu akan dinilai dari pelbagai sudut termasuk permintaan daripada sayap wanitanya yang mahu 30 peratus calon diwakili wanita. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here