KUALA LUMPUR, 6 Okt — Kedua-dua sistem kehakiman dan penyelesaian pertikaian alternatif (ADR) perlu berusaha untuk memberikan keputusan yang munasabah semasa membuat keputusan dalam sebarang kes secara bebas, adil, dan tanpa rasa gentar atau pilih kasih, kata Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

Beliau berkata kebebasan badan kehakiman adalah satu konsep yang wujud dalam kerangka sistem keadilan.

“Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Nazrin (Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah) juga baru-baru ini bertitah mengenai perkara ini. Titah baginda: “Tidak seharusnya ada sebarang keraguan, dan hakim mestilah bebas daripada sebarang pengaruh atau tekanan”.

“Walaupun titah DYMM Tuanku adalah berhubung dengan Mahkamah Syariah, pertimbangan berhubung dengan Badan Kehakiman Malaysia dan juga sistem ADR, tetap sama. Kedua-dua sistem harus berusaha untuk memberikan keputusan yang wajar sambil menghakimi kes secara bebas, adil dan tanpa rasa takut atau pilih kasih,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya di Persidangan Minggu SDR Asia 2022 Keempat Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) di sini hari ini.

Sultan Nazrin Shah turut menyampaikan ucaptama di majlis itu.

Selain itu Tengku Maimun berkata badan kehakiman memperakui peranan penting yang dimainkan oleh penimbang tara dan lain-lain mekanisma ADR.

Beliau berkata mekanisme ADR seperti pengantaraan, rundingan dan timbang tara menawarkan peluang kepada pihak terbabit untuk menyelesaikan pertikaian mereka tanpa proses litigasi yang panjang dan meleret-leret.

Tengku Maimun bagaimanapun menambah bahawa terdapat pandangan yang berbeza mengenai bagaimana hubungan antara mahkamah dan institusi timbang tara harus dilihat.

“Boleh juga dikatakan bahawa jalan penyelesaian pertikaian itu tergolong dalam dua alam yang bersaing, berbeza antara satu sama lain, bagaimanapun saya percaya bahawa kedua-dua jalan penyelesaian pertikaian ini saling melengkapi antara satu sama lain dalam usaha mencari keadilan,” katanya.

Tengku Maimun berkata badan kehakiman Malaysia akan terus menyokong perkembangan ADR.

“Dengan AIAC terus mempromosi dan menyokong ADR, dan dengan sokongan berterusan daripada badan penyelesaian pertikaian lain yang berkaitan, saya yakin masa depan ADR adalah selamat,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here