KUALA LUMPUR, 6 Okt — Jumlah trafik perjalanan udara global, yang diukur dalam hasil penumpang bagi setiap kilometer (RPK), melonjak 67.7 peratus tahun ke tahun (y-o-y) pada Ogos 2022, menunjukkan momentum pemulihan yang berterusan dalam perjalanan udara, kata Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA). 

“Secara keseluruhannya, trafik kini di tahap 73.7 peratus daripada paras sebelum krisis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ia berkata, trafik domestik bagi Ogos 2022 meningkat 26.5 peratus tahun ke tahun, dan jumlah trafik domestik pada Ogos 2022 berada pada 85.4 peratus daripada paras Ogos 2019.

Mengenai trafik antarabangsa, persatuan itu berkata, ia melonjak 115.6 peratus berbanding Ogos 2021 dengan syarikat penerbangan di Asia mencatatkan kadar pertumbuhan tahun ke tahun yang paling kukuh.

“RPK antarabangsa pada Ogos 2022 meningkat 67.4 peratus daripada paras Ogos 2019,” katanya.

Ketua Pengarah Willie Walsh berkata, dengan mengambil kira ketidaktentuan ekonomi semasa, permintaan dalam perjalanan udara masih berkembang dengan baik.

“Kelonggaran dan menarik balik sekatan perjalanan di beberapa destinasi utama Asia, termasuk Jepun, sudah tentu akan mempercepatkan pemulihan industri ini di Asia,” katanya.

Dalam kenyataan berasingan, IATA berkata, permintaan kargo udara global, yang diukur dalam kargo tan bagi setiap kilometer (CTK), jatuh 8.3 peratus tahun ke tahun pada Ogos 2022.

Bagaimanapun, ia berkata, ini adalah sedikit peningkatan berbanding penurunan tahun ke tahun sebanyak 9.7 peratus pada Julai 2022, dan meningkat jika dibandingkan dengan penguncupan 9.3 peratus pada Ogos 2021.

“Kapasiti pula ialah 6.3 peratus melebihi paras Ogos 2021 (+6.1 peratus untuk operasi antarabangsa). Ini merupakan pengembangan ketara berbanding kenaikan 3.6 peratus tahun ke tahun pada Julai,” katanya.

Walsh berkata kargo udara terus menunjukkan daya tahan dalam mengharungi cabaran,

“Jumlah kargo secara relatifnya stabil dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi dan konflik geopolitik,” tambahnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here