KUALA LUMPUR, 6 Okt — Semua pemandu dan penunggang p-hailing selepas ini akan diwajibkan mencarum dengan program Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata caruman berkenaan akan dijadikan sebagai prasyarat untuk mereka mendapatkan lesen vokasional yang bakal diwajibkan.

“Bermaksud dia tak boleh lepas, nak dapat ini (lesen vokasional), prasyaratnya SKSPS mesti ada,” katanya ketika menggulung Rang Undang-Undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2022 di Dewan Rakyat hari ini.

Rang Undang-Undang itu dan dua lagi iaitu Rang Undang-Undang Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (Pindaan) 2022 dan Rang Undang-Undang Pengangkutan Awam Darat (Pindaan) 2022 bertujuan  memberi punca kuasa kepada Kementerian Pengangkutan mengawal selia komuniti p-hailing, diluluskan Dewan Rakyat hari ini.

Wee berkata kerajaan komited untuk memastikan para pekerja p-hailing mempunyai sistem jaringan keselamatan sosial.

“Apabila kemalangan berlaku, sekurang-kurangnya mereka ini dilindungi dan kita juga dapat membantu,” katanya.

Sebagai permulaan, katanya kerajaan telah mensyaratkan semua syarikat pengantara p-hailing mengenakan caruman Perkeso sebanyak RM13.10 sebulan kepada setiap pemandu dan pekerja p-hailing dengan keseluruhan RM157.20 setahun, 80 peratus daripadanya ditanggung kerajaan, dan bakinya pekerja p-hailing.

Persidangan bersambung esok.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here