Home Berita MCI JKDM disaran bina parkir berbumbung letak kenderaan sita

JKDM disaran bina parkir berbumbung letak kenderaan sita

CHUKAI, 29 Dis — Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) disaran supaya membina parkir berbumbung untuk menyimpan kenderaan yang dirampas bagi mengelak berlaku susut nilai ke atas kenderaan tersebut semasa dilelong.

Timbalan Menteri Kewangan I Datuk Seri Ahmad Maslan berkata ia berikutan terdapat perbezaan harga yang ketara antara nilai kenderaan lelong yang ditempatkan di kawasan berbumbung berbanding tempat terbuka yang terdedah kepada cuaca hujan serta panas.

“Hasil lawatan ke tiga pejabat penguatkuasaan JKDM di Kuala Terengganu, Kelantan dan Kemaman, saya dimaklumkan bahawa nilai kereta yang tidak (ditempatkan di parkir) berbumbung berbeza, tidak tinggi seperti yang berbumbung.

“Jadi kita kehilangan hasil akibat tidak ‘membumbungkan’ kenderaan yang dirampas,” katanya selepas melakukan lawatan kerja di Pejabat JKDM Kemaman yang turut dihadiri Pengarah JKDM Terengganu Mohd Nadzri Ariffin.

Ahmad berkata beliau akan membawa cadangan itu kepada pihak pengurusan tertinggi JKDM untuk membuat penilaian termasuk kos bagi pembinaan bumbung di pejabat penguatkuasaan di seluruh negara.

Menurut Ahmad walaupun perkara tersebut nampak kecil, ia boleh memberi tambahan kepada hasil negara untuk manfaat rakyat.

“Ini adalah antara cara kreatif yang boleh dilakukan oleh JKDM untuk menambah hasil baharu tanpa perlu melaksanakan cukai baharu kepada rakyat,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ahmad berkata JKDM Terengganu berjaya mencatat kutipan cukai lebih RM5.6 juta hingga 26 Dis lepas.

Selain itu sebanyak 167 kes tangkapan berjaya direkodkan melibatkan rampasan rokok, mercun, bunga api, kenderaan dan komoditi perindustrian.

NO COMMENTS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Exit mobile version