KANGAR, 2 Feb —  Faizuddin Center of Educational Excellence (FCoEE) menjadi peneraju kepada pendidikan digital di negeri ini dalam usaha melahirkan pelajar yang mempunyai mentaliti kelas pertama dalam segala tindakan.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah usaha tersebut dilakukan menerusi Program Digitalisasi Jamalullail dan FCoEE.

“Program itu disusun menerusi pembinaan empat Self, iaitu Self Believe (Kepercayaan atas kebolehan diri sendiri), Self Confidence (Keyakinan diri yang tinggi), Self Esteem (Peningkatan harga diri) dan Self Motivation (Motivasi yang tinggi untuk kekal berjaya),” titah baginda menerusi kenyataan yang dikeluarkan Istana Arau hari ini.

Baginda bertitah demikian ketika  berangkat merasmikan Majlis Appresiasi Akar Tunjang Kemenjadian Murid Tahun 2022 anjuran Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, di sini malam tadi.

Keberangkatan tiba baginda bersama-sama Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil disambut oleh Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Perlis Naharudeen Othman dan Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli.

Baginda yang juga penaung FCoEE bertitah sistem pendidikan negara sentiasa mempunyai ruang dan peluang untuk ditambah baik agar dapat kekal relevan untuk para pelajar, selari dengan peredaran masa kini.

Tuanku Syed Faizuddin berharap agar cogan kata My School My Playground akan dapat dilaksanakan dengan kemudahan pengajaran dan pembelajaran terkini serta penerapan budaya sekolah penyayang dapat melahirkan murid yang  lebih berhemah.

“Kemahiran Kalis Masa Hadapan (KKMH) yang diterapkan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Perlis seperti kemahiran Teknologi Maklumat dan Pengurusan Acara mampu membuka peluang awal kepada pelajar untuk berjinak-jinak dengan aktiviti seperti pemasaran produk secara dalam talian dan mempengerusikan majlis-majlis formal di sekolah,” titah baginda.

Baginda bertitah meminta agar tenaga pengajar di sekolah dan kakitangan  di Jabatan Pendidikan Negeri mengadaptasi sistem pendidikan luar negara seperti Australia dan New Zealand.

“Ini kerana sistem pendidikan mereka adalah berlainan berbanding dengan apa yang sedang diterapkan di sini.

“Sistem pendidikan mereka lebih mengutamakan konsep amali atau praktikal seperti bersama-sama rakan sekelas untuk menyiapkan projek yang diberikan. Ini telah terbukti berkesan untuk menarik minat pelajar berbanding dengan hanya berada di dalam kelas berjam-jam lamanya,” titah baginda.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here