PUTRAJAYA, 2 Feb — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menegaskan bahawa Kerajaan Perpaduan pimpinannya tidak mencampuri urusan badan siasatan dan penguatkuasaan termasuk dalam siasatan yang dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Bersatu.

Dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet di sini hari ini, beliau menegaskan bahawa badan siasatan dan penguatkuasaan serta kehakiman kekal bebas untuk menjalankan siasatan masing-masing.

Anwar berkata adalah tidak bertanggungjawab bagi parti pembangkang untuk membuat tuduhan terhadap Kerajaan Perpaduan berhubung isu tersebut.

“Kita tidak ulangi sikap menekan seperti dilakukan dan kita tidak gunakan badan-badan (siasatan dan penguatkuasaan) ini,” katanya.

Setiausaha Agungnya Datuk Seri Hamzah Zainudin semalam dilaporkan berkata parti itu melahirkan rasa kesal terhadap tindak-tanduk kerajaan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional yang menjadikan agensi di bawah pemerintahannya sebagai alat untuk mencapai matlamat politik mereka.

Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki dilaporkan mengesahkan SPRM telah membekukan akaun milik Bersatu bagi tujuan membantu siasatan ke atas wang yang disyaki daripada hasil haram.

Mengenai siasatan terhadap Bersatu, Perdana Menteri berkata terdapat laporan dibuat kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan SPRM tentang penggunaan wang oleh parti itu.

Selain itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan telah mendapati wujud projek-projek tanpa tender yang menelan belanja terlalu tinggi sewaktu negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). 

Memberi contoh projek di bawah Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (JanaWibawa) dan tebatan banjir, Anwar berkata beliau mendapati kos projek itu adalah terlalu tinggi.

Projek JanaWibawa diperkenal bagi mempercepatkan pelaksanaan projek untuk merancakkan ekonomi negara semasa dan pascapandemik COVID-19.

Anwar berkata pimpinan Bersatu perlu menjelaskan bagaimana wang lebih RM300 juta boleh diperoleh oleh parti itu dalam masa yang singkat.

“Harus pimpinan parti sekiranya mereka benar bersih seperti yang diceritakan, dia kena jelaskan kepada badan penyiasat mengapa dalam masa singkat begitu boleh mengumpul wang begitu banyak, dari sumber mana dan kepada siapa.

“(Perkara itu) kemudian akan dibawa ke Peguam Negara mengikut proses, lebih daripada itu saya tidak tahu. Apa nak ditegaskan oleh kami dalam pimpinan Kerajaan Perpaduan adalah arahan siasatan untuk semua tidak terkecuali sama ada parti kerajaan atau pembangkang,” katanya.

Ditanya mengenai gesaan supaya PKR turut mendedahkan akaun parti itu, Anwar yang juga Presiden PKR berkata parti itu tidak mempunyai masalah untuk berbuat demikian sekiranya diminta oleh SPRM.

“(SPRM) boleh semak mana-mana parti, Bersatu tidak dedahkan akaun tetapi didedahkan oleh penyiasat. 

“Saya tiada masalah dan akaun (PKR) diaudit dan dihantar ke Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) mengikut jadual ditetapkan tahunan,” katanya.

Semalam, Datuk Dr Marzuki Mohamad yang merupakan bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri kelapan Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menggesa PKR dan DAP mendedahkan akaunnya termasuk akaun amanah yang dipegang bagi pihak parti itu.

Anwar menegaskan yang Kerajaan Perpaduan pimpinannya menekankan untuk terus melaksanakan tata kelola yang baik dalam pentadbirannya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here