KAJANG, 2 Feb — Kementerian Pertahanan menyasarkan untuk membina sebanyak 40 buah rumah di seluruh negara tahun ini menerusi Projek Inisiatif Perumahan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata sasaran itu dilihat mampu dicapai berdasarkan pencapaian tahun lepas iaitu 25 rumah telah berjaya dibina. 

Beliau berkata kos pembinaan rumah berkeluasan 850 kaki persegi dilengkapi tiga bilik tidur dan sebuah bilik air itu dianggarkan berjumlah RM85,000 dan projek itu dijalankan dengan kerjasama Syarikat Perumahan Negara Berhad.

“Untuk tahun ini kementerian mahu menyiapkan sebanyak 40 buah rumah yang mana ia diberikan secara percuma kepada veteran ATM yang kurang berkemampuan tetapi mempunyai tanah sendiri.

“Jika tanah berkenaan mempunyai banyak pemilik atau milik anggota keluarga yang lain, ia memerlukan persetujuan bertulis daripada semua individu berkaitan,” katanya kepada pemberita selepas melawat Koperal (bersara) Sarafuddin Suhaimi di kediamannya di Taman Semarak, di sini, hari ini.

Sarafuddin, 62, merupakan veteran ATM daripada pasukan Rejimen Askar Melayu Diraja yang kehilangan kaki kanannya semasa menjalankan Operasi Gubir pada 1985.

Beliau yang bersara pada 2002 kini menghidap kanser usus tahap dua serta ketumbuhan pada paru-paru.

Dalam pada itu, Adly berkata pihaknya sentiasa menjaga kebajikan veteran ATM menerusi program-program bantuan kerajaan.

“.. tiada pihak yang terpinggir dan usaha-usaha seumpamanya akan dipergiat dan diperluas dalam memastikan setiap khidmat bakti yang dicurahkan dalam perkhidmatan mendapat pengiktirafan sewajarnya,” katanya.

Beliau berkata pihaknya juga sedang merangka program dermasiswa untuk disalurkan kepada anak-anak veteran ATM yang melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here