PUTRAJAYA, 2 Feb — Datuk Nik Nasarudin Mohd Zawawi dilantik sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan (KPM) berkuat kuasa hari ini, umum Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Nik Nasarudin, 57, telah berkhidmat dengan perkhidmatan awam selama 32 tahun dengan bermula sebagai guru atau Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah pada 12 Jan 1988, sebelum  dilantik ke Skim Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik pada 16 Dis 1996.

Mohd Zuki dalam kenyataan hari ini berkata Nik Nasarudin berpengalaman luas dalam pelbagai bidang termasuk perancangan, pelaksanaan, pemantauan projek pembangunan serta pentadbiran dan pembangunan modal insan.

Lulusan Sarjana Ekonomi dari Universiti Kebangsaan Malaysia dan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dari Universiti Malaya itu memperoleh pengalaman tersebut setelah berkhidmat di Unit Perancang Ekonomi, Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri dan Pejabat Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang.

“Dengan pengalaman dan kredibiliti yang dimilikinya, saya yakin beliau mampu melaksanakan tanggungjawab dengan meneruskan misi kementerian (KPM) untuk melestarikan sistem pendidikan yang berkualiti dalam membangunkan potensi individu bagi memenuhi aspirasi Malaysia Madani,” kata Mohd Zuki.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here