BANGKOK, 2 Feb — Jerebu tebal menyelubungi ibu negara Thailand sejak semalam, apabila pencemaran udara di bandar itu kini mencapai tahap tidak sihat.

Menurut Pusat Kualiti Udara Bangkok, sebanyak 70 stesen pemantauan kualiti udara melaporkan tahap pencemaran udara yang tidak selamat di Bangkok setakat jam 7 pagi semalam, dengan jumlah itu kemudiannya meningkat kepada 80 menjelang tengah hari.

Empat stesen pemantauan kualiti mengesan tahap merah pada skala PM2.5. 

PM2.5 merujuk kepada zarah halus habuk di udara di mana ia boleh meresap jauh ke dalam paru-paru dan menyebabkan kematian pramatang akibat penyakit paru-paru dan jantung, terutamanya dalam kalangan warga emas dan mereka yang mengalami komplikasi kesihatan.

Gabenor Bangkok, Chadchart Sittipunt, berkata tahap pencemaran yang tidak selamat dijangka berterusan sehingga esok.

Beliau berkata, keadaan itu disebabkan oleh udara yang bertakung, selain pembakaran pertanian dan kebakaran hutan.

“Orang ramai dinasihatkan memakai pelitup muka apabila berada di luar rumah, dan cuba mengelakkan aktiviti luar,” katanya. 

Setakat jam 6 petang semalam, bacaan Indeks Kualiti Udara (AQI) Bangkok direkodkan pada 166 pada IQAir iaitu rakan teknologi Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). 

Bacaan AQI melebihi 100 dianggap tidak sihat manakala tahap yang melepasi 200 dianggap sangat tidak sihat, sementara tahap yang melebihi 300 dianggap berbahaya. 

Sebarang tahap PM2.5 melebihi 50 mikrogram per meter padu udara (μg/m3) adalah tidak selamat, manakala tahap merah merujuk kepada PM2.5 melebihi 90 μg/m3.

Sementara itu, Pejabat Perhubungan Awam Pentadbiran Metropolitan Bangkok (BMA) turut menggalakkan orang ramai bekerja dari rumah dan menggunakan pengangkutan awam. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here