KUALA LUMPUR, 2 Feb — MIDF Research menjangka aktiviti perdagangan luar Malaysia akan terus berkembang selepas 2023 berikutan impak daripada perjanjian perdagangan baharu, selain daripada harga komoditi yang tinggi dan kadar monetari yang rendah.

Dalam nota penyelidikan hari ini, katanya perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) serta Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) turut dijangka membantu prestasi perdagangan luar pada 2024. 

“Dalam era selepas pandemik, Malaysia telah meratifikasi RCEP dan CPTPP, masing-masing berkuat kuasa pada 18 Mac 2022 dan 29 Nov 2022. 

“Sehingga 2022, anggota RCEP menyumbang 58.1 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia manakala anggota CPTPP menawarkan 27.5 peratus,” katanya.

Mempunyai dua perjanjian perdagangan bebas (FTA) ini, firma penyelidikan itu berkata produk Malaysia mampu menembusi pasaran yang lebih luas dan menikmati barangan import yang lebih murah, justeru kadar pertumbuhan eksport dan import Malaysia, masing-masing akan mencecah +12.1 peratus dan +10.9 peratus pada 2024.

Selain itu, MIDF Research turut berpandangan bahawa aspek luar masih mencabar, dengan kebimbangan mengenai kelembapan ekonomi global, tekanan inflasi, pengukuhan dasar monetari di kebanyakan negara serta risiko geopolitik di Eropah dan Asia.

“Kami menjangka penyederhanaan dalam unjuran pertumbuhan eksport daripada +25 peratus tahun ke tahun pada 2022 kepada +9.2 peratus tahun ke tahun pada 2023.

“Dari aspek positif, pembukaan semula China memberi kelebihan kepada aliran perdagangan global. Pasaran eksport Malaysia masih boleh bertahan antara lainnya disokong oleh jualan produk komoditi di luar negara dengan harga komoditi kekal tinggi, minyak sawit mentah sebanyak RM3,500 satu tan dan minyak mentah Brent sebanyak US$94 setong pada 2023,” katanya, sambil menambah ia mengekalkan saranan ‘neutral’ terhadap sektor perladangan.

Bagi import, ia mengunjurkan untuk mencecah +9.5 peratus tahun ke tahun, lebih tinggi daripada eksport berikutan firma penyelidikan itu berpandangan permintaan domestik akan kekal kukuh.

Mengenai sektor perladangan, MIDF Research menjangka situasi terhad bekalan minyak sawit akan berkurangan pada 2023 berikutan keadaan cuaca yang lebih baik selain pemulihan dalam kekurangan tenaga kerja asing pada separuh kedua tahun ini.

Sementara itu, ia mengekalkan saranan ‘positif’ untuk sektor minyak dan gas, walaupun anggaran harga purata untuk minyak mentah Brent pada 2023 mencecah US$92 setong berbanding US$98 setong tahun lepas, dengan penekanan kepada risiko dan ketidaktentuan daripada sekatan minyak dan gas Rusia, pengeluaran AS dan permintaan jangka panjang China.

“Kami turut mengekalkan prospek yang menggalakkan terhadap sektor semikonduktor pada 2023 berdasarkan potensi pertumbuhannya yang berterusan didorong oleh teknologi maju dan kami percaya bahawa penurunan baru-baru ini dalam sektor teknologi telah dinyatakan secara berlebihan, menawarkan peluang kepada pelabur yang berpandangan ke hadapan untuk melabur dalam saham yang mencatatkan pertumbuhan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here