PUTRAJAYA, 2 Feb — Kira-kira 60,000 laporan kes kemalangan meliputi kemalangan di tempat kerja, kemalangan dalam perjalanan pergi dan pulang dari tempat kerja serta penyakit khidmat diterima Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) setiap tahun, kata Timbalan Menteri Sumber Manusia Mustapha Sakmud.

Beliau berkata pada tahun lepas, 64,168 kes kemalangan telah dilaporkan kepada Perkeso dan daripada jumlah itu, sebanyak 35,015 kes adalah kemalangan industri atau kemalangan di tempat kerja manakala 29,153 kes adalah kemalangan perjalanan dan berulang-alik ke tempat kerja.

“Sepanjang tempoh tersebut (2022) seramai 864 pekerja maut dengan kemalangan industri menjadi punca kepada 255 kematian manakala kemalangan perjalanan telah menyebabkan 609 pekerja maut, iaitu meningkat daripada 525 pekerja yang maut akibat nahas jalan raya pada 2021.

“Jika kita amati data ini, kita dapat lihat secara purata hampir dua pekerja terkorban setiap hari akibat kemalangan perjalanan di negara ini,” katanya kepada media selepas Majlis Penyerahan Geran Bantuan Perkeso Kepada Institusi dan Badan-badan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) 2023 di sini hari ini.

Mustapha berkata Kementerian Sumber Manusia sentiasa memandang serius isu keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) di negara ini kerana setiap bencana pekerjaan adalah satu kos kepada masyarakat dan negara.

Pada tahun ini, katanya Perkeso memperuntukkan Geran Bantuan Kewangan berjumlah RM3.7 juta kepada 38 NGO dan institusi bagi melaksanakan 600 program pencegahan kemalangan dan kesedaran KKP.

Ketua Eksekutif Perkeso Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata peruntukan geran kepada institusi dan NGO berkaitan telah dilaksanakan secara tahunan sejak 2001 sebagai inisiatif berterusan untuk memperkasakan kesedaran KKP, mengurangkan kadar kemalangan, seterusnya meningkatkan kesejahteraan golongan pekerja termasuk mereka yang bekerja sendiri.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here