Home Berita MCI NGO Dialukan Terlibat Dalam Misi Bantuan Kemanusiaan Ke Turkiye, Syria

NGO Dialukan Terlibat Dalam Misi Bantuan Kemanusiaan Ke Turkiye, Syria

PUTRAJAYA, 8 Feb – Kementerian Luar dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Malaysia mengalu-alukan penglibatan badan bukan kerajaan (NGO) untuk terlibat dalam misi penyaluran bantuan kemanusiaan ke Turkiye dan Syria.

Kementerian itu dalam satu kenyataan akhbar pada Rabu memaklumkan bahawa semua NGO yang ingin menyampaikan bantuan ke Turkiye dan Syria perlu berdaftar dengan NADMA melalui e-mel spks@nadma.gov.my bagi tujuan penyelarasan.

Bagi pihak yang ingin menyertai misi bantuan kemanusiaan ke Turkiye, maklumat butiran delegasi serta senarai bantuan dan peralatan yang ingin dibawa masuk juga perlu dimaklumkan melalui e-mel itu.

Terdahulu, Kementerian Luar telah mengadakan perbincangan bersama 28 NGO Malaysia yang berhasrat menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada mangsa gempa bumi di Turkiye dan Syria, bagi tujuan memberi penerangan berhubung situasi semasa di lapangan terkesan serta menyelaras penyaluran bantuan kemanusiaan secara teratur dan selamat.

Menurut kenyataan itu, satu “Tabung Bencana Gempa Bumi di Turkiye dan Syria” di bawah seliaan Tabung Bencana Kementerian Luar Negeri (TBKLN) akan dilancarkan dalam masa terdekat untuk menerima sumbangan orang awam kepada mangsa bencana ini.

NO COMMENTS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Exit mobile version