KUALA LUMPUR, 27 Mei – Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) Global Geopark telah mengiktiraf Kinabalu Geopark, Sabah sebagai kawasan Global Geopark Malaysia yang ke-2 pada Khamis lepas.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad berkata pihaknya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah atas pengiktirafan itu dan keputusan tersebut dibuat oleh Lembaga Eksekutif UNESCO di Paris pada 25 Mei lepas bersama 17 Geopark yang lain.

“Kinabalu Geopark yang berkeluasan 4,750 kilometer persegi meliputi daerah Kota Belud, Kota Marudu dan sebahagian daerah Ranau serta mempunyai 46 geotapak, 12 biotapak dan lapan tapak budaya telah diiktiraf sebagai Geopark Kebangsaan pada 18 Mac 2020.

“Geopark ini diuruskan oleh Lembaga Pemegang Amanah Taman-Taman Sabah dengan kerjasama pihak berkepentingan yang lain. Kinabalu Geopark telah menjalani penilaian oleh panel penilai rangkaian UNESCO Global Geopark (UGGp) pada 18 hingga 21 Jul 2022,” katanya menerusi kenyataan hari ini. 

Beliau berkata pengiktirafan Kinabalu Geopark sebagai UGGp, telah melengkapkan ketiga-tiga program UNESCO di negeri berkenaan iaitu Tapak Warisan Dunia (WHS), Manusia dan Biosfera (MAB) dan UGGp.

“Ketiga-tiga program UNESCO yang diuruskan oleh Taman-Taman Sabah telah mengangkat nama Malaysia sebaris dengan beberapa negara yang diberi jolokan sebagai negara penyandang “Triple Crown” program UNESCO.

“Selain itu, pengiktirafan ini merupakan satu lagi pencapaian negara yang amat bermakna khususnya kepada kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan dalam usaha memelihara kelestarian alam semula jadi serta pengurusan mampan kawasan UGGp, yang memiliki nilai kepentingan antarabangsa seiring dengan Agenda Pembangunan Negara dan Matlamat Pembangunan Lestari 2030 di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu,” katanya.

Menurutnya Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim akan terus menyokong dan bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk mencalonkan geopark kebangsaan lain yang memenuhi kriteria Global Geopark di bawah UNESCO bagi mendapatkan pengiktirafan peringkat antarabangsa.

Pada 2007, Langkawi, Kedah merupakan lokasi pertama mendapat pengiktirafan sebagai UGGp kerana keindahan alam dan nilai warisan geologi yang bertaraf antarabangsa.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here