KOTA KINABALU, 27 Mei – Pihak syarikat swasta harus memainkan peranan dalam usaha untuk memastikan lebih banyak Jalur Gemilang dikibarkan terutama ketika sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tidak lama lagi, kata Menteri Kewangan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun.

Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan 2023 Peringkat Negeri Sabah itu berkata tanggungjawab memastikan Jalur Gemilang dikibarkan tidak sepatutnya diletak pada bahu agensi kerajaan semata-mata, sebaliknya semua pihak perlu berganding bahu bagi merealisasikan matlamat itu.

“Pihak berkuasa tempatan seolah-olah perlu mengingatkan pihak swasta untuk buat kerja yang sama (kibar Jalur Gemilang), saya tahu mereka (swasta) sibuk tetapi sekurang-kurangnya sekali setiap tahun bukan berat untuk semua orang kibarkan bendera (Jalur Gemilang) untuk tunjuk kita sayang akan negara ini.

“Bagi saya negara ini tempat terbaik untuk tinggal di dunia ini, saya berkesempatan tinggal di banyak tempat tetapi kalau tuhan izinkan saya ingin tinggal dan mati di negara saya sendiri kerana sayang kepada negara kita ini,” katanya.

Masidi berkata tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia iaitu “Malaysia MADANI: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan” memberikan seruan kepada rakyat Malaysia untuk bersatu dengan bersungguh-sungguh bagi mencapai harapan negara dan diri sendiri.

“Logo dan tema itu penting tetapi yang lebih penting sikap diri kita sebagai rakyat Malaysia, ini kerana logo dan tema itu boleh bertukar hampir setiap tahun tetapi sikap dan hati kita tetap kekal sebagai rakyat yang sayang dan bangga dengan negara kita Malaysia,” katanya.

Beliau berkata Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia memainkan peranan penting dalam memupuk semangat sayang dan cintakan negara, justeru rakyat khususnya dalam kalangan generasi muda harus bersama-sama meraikan sambutan itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here