IPOH, 28 Mei — Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) akan meneruskan usaha membawa sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) ke seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.

Menteri berkenaan Fahmi Fadzil berkata setelah penganjuran di luar Kuala Lumpur iaitu di Melaka pada tahun lepas dan di Perak bagi tahun ini, terdapat keperluan untuk membawa sambutan itu ke seluruh negara agar semua pengamal media dapat terlibat dengannya.

“Saya lihat (sambutan) ini boleh merantau pergi menjelajah ke negeri-negeri sebab setiap negeri ada biro-bironya… mungkin antara lokasi yang boleh kita pertimbangkan ialah Kota Kinabalu, Sabah dan Kuching, Sarawak bergantung kepada kesesuaian rakan-rakan media,” katanya.

Beliau berkata selain dapat berbincang dan bertukar-tukar fikiran, penganjuran HAWANA membolehkan pengamal media meluahkan kekangan serta cabaran bertugas di lokasi berbeza di setiap negeri di Malaysia.

“Ia merupakan peluang baik bagi pengamal media, setahun sekali sekurang-kurangnya media boleh berkumpul menyampaikan pandangan dan bertukar pendapat mengenai hala tuju industri ini,” katanya.

Fahmi juga berkata beliau berpuas hati dengan persiapan majlis kemuncak HAWANA dan berharap penganjurannya kekal menjadi acara tahunan dalam kalendar KKD.

Presiden Persatuan Wartawan Bahagian Kuching Ronnie Teo Teck Wei pula berkata pengamal media di Sarawak berhasrat membawa momentum kemeriahan sambutan HAWANA ke Bumi Kenyalang tahun depan. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here