KUALA LUMPUR, 28 Mei – Penganjuran Majlis Ilmu MADANI seperti yang diadakan di Masjid Putra, Putrajaya semalam perlu berterusan kerana ia dapat memperkasakan akhlak dan melahirkan masyarakat berpengetahuan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata program ilmu seperti itu juga perlu terus digalakkan bagi melahirkan masyarakat MADANI yang menjadi asas kepada pembentukkan negara sejahtera dan aman.

“Perkara ini sejajar dengan kehendak atau hasrat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri yang mahu membina masyarakat MADANI itu. Bagaimana kita mahu membina satu negara yang baik, yang mendapat keampunan Allah, sekiranya masyarakatnya bukan daripada kalangan orang yang berilmu?

“Kita boleh lihat sendiri, majlis-majlis ilmu sebegini sering kali diadakan oleh beliau (Anwar) tidak kira di Seri Perdana, masjid atau sura, kesannya melahirkan masyarakat berilmu.

“Namun apa yang lebih penting Perdana Menteri sebutkan adalah masyarkat yang ada adab dan akhlak,” katanya.

Sementara itu, Penganalisis Sosiopolitik Universiti Malaya (UM), Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi mencadangkan supaya Majlis Ilmu MADANI diperluaskan ke seluruh negara bagi memastikan impaknya lebih menyeluruh.

Katanya jika program itu diadakan di setiap negeri ia memudahkan orang ramai untuk menyertai dan seterusnya dapat memahami gagasan MADANI sebagai elemen utama menerapkan sifat ihsan, amanah dan nilai murni dalam mengangkat martabat hidup rakyat di negara ini.    

“Perlu difahami oleh seluruh rakyat Malaysia mengenai MADANI dalam konteks semasa. Saya kira majlis-majlis ilmu MADANI ini bukan sahaja diadakan di Seri Perdana tetapi juga diperingkat negeri, agensi, institusi pendidikan tinggi awam dan swasta kerana aktiviti seperti ini memang memberikan impak positif kepada rakyat,” katanya.

Semalam, lebih 18,000 umat Islam menghadiri Majlis Ilmu MADANI Bersama Perdana Menteri di Masjid Putra, Putrajaya.

Pada majlis itu, dua tokoh ulama besar dunia Islam iaitu bekas Mufti Agung Mesir Syeikh Profesor Dr Ali Juma’ah Al Azhari serta Pengasas dan Pengetua Dar Al Mustofa di Tarim, Yaman iaitu Habib Umar Bin Muhammad Bin Salim Ben Hafidz berkongsi ilmu dengan para hadirin.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here