Home Berita MCI GP Di 10 Daerah Dipelawa Sertai Program Rintis Skim Perubatan Madani

GP Di 10 Daerah Dipelawa Sertai Program Rintis Skim Perubatan Madani

PUTRAJAYA, 2 Jun – Pengamal perubatan swasta umum (GP) di 10 daerah terpilih dipelawa menyertai program rintis Skim Perubatan MADANI yang bermula hari ini sebagai klinik panel.

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa dalam kenyataan berkata daerah terbabit ialah Gombak, Hulu Langat, Klang dan Petaling di Selangor; Kuala Lumpur; Kinta (Perak), Timur Laut (Pulau Pinang); Johor Bahru (Johor); Kota Kinabalu (Sabah) dan Kuching (Sarawak).

“KKM (Kementerian Kesihatan) dengan ini menjemput GP di lokasi yang terlibat untuk mendaftar sebagai klinik panel Skim Perubatan MADANI,” katanya.

Pendaftaran boleh dibuat menerusi laman sesawang ProtectHealth di www.protecthealth.com.my/skimperubatanmadani atau menghubungi talian 03-8687 2525.

Skim Perubatan MADANI adalah perkhidmatan kesihatan percuma kepada penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang terdiri daripada golongan B40 dan penerima boleh mendapatkan rawatan melalui skim itu bermula 15 Jun ini.

Skim itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika pembentangan Belanjawan 2023 Februari lepas dan merupakan salah satu inisiatif kerajaan mengatasi isu kesesakan pesakit di kemudahan kesihatan kerajaan.

Dr Zaliha berkata ProtectHealth akan menganjurkan sesi taklimat dan latihan secara dalam talian kepada GP yang berdaftar.

NO COMMENTS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Exit mobile version