Home Berita Lain Orang Asli Kampung Ber Mohon Kuota Capaian Internet Ditambah

Orang Asli Kampung Ber Mohon Kuota Capaian Internet Ditambah

GUA MUSANG, 2 Jun – Kira-kira 150 penduduk Orang Asli di Kampung Ber, Pos Tuel, di sini, memohon kemudahan asas capaian internet mudah alih di perkampungan mereka dinaik taraf untuk menampung kegunaan semua penduduk yang tinggal di kawasan pedalaman itu.

Penduduk suku kaum Temiar berkenaan mendakwa meskipun mereka disediakan perkhidmatan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) di dalam kampung berkenaan, capaian yang diterima masih rendah dan internet tidak dapat diakses sepenuhnya. 

Penduduk Asu Jenang, 60, berkata mereka hanya bergantung sepenuhnya terhadap perkhidmatan JENDELA memandangkan penempatan mereka terletak di kawasan pedalaman dan tidak mendapat liputan syarikat telekomunikasi kerana pencawang talian telefon terletak jauh di Kampung Tuel, Pos Tuel.

“Internet di kawasan kampung bertambah teruk apabila penduduk kini mula celik IT dan menggunakan kemudahan teknologi. 

“Akses internet semakin perlahan kerana kuota yang ada tidak mencukupi, lagi teruk ketika hujan lebat kerana internet tidak dapat digunakan langsung,” katanya.

Penghulu Razak Rongging, 41, berkata situasi tersebut menyukarkan mereka untuk berhubung apabila berlaku kecemasan kerana perhubungan dibuat hanya melalui aplikasi WhatsApp. 

“Kami sangat berharap masalah ini dapat diselesaikan secepat mungkin kerana ia sangat menyukarkan lebih-lebih lagi ketika kecemasan untuk kami melaporkan pihak berwajib terutamanya pada waktu malam,” katanya.

Sementara itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) Kelantan ketika dihubungi berkata mereka mengambil maklum tentang isu yang dihadapi penduduk di perkampungan tersebut ketika ini. 

“Tindakan yang sewajarnya akan diambil bagi membantu masyarakat Orang Asli di Kampung Ber menikmati kemudahan internet di kampung mereka,” katanya. 

NO COMMENTS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Exit mobile version