Home Berita Lain Anwar Kemuka Dokumen Berkaitan Jaminan Kerajaan Kepada Felda

Anwar Kemuka Dokumen Berkaitan Jaminan Kerajaan Kepada Felda

KUALA LUMPUR, 20 Julai – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengemukakan dokumen perjanjian Assignment for Financial Service Reserve Account (FSRA) terkait Jaminan Kerajaan kepada Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) yang telah beliau tandatangani. 

Dokumen tersebut dikemukakan oleh Anwar berikutan kenyataan beliau semalam kepada bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang beliau (Anwar) akan mengemukakan bukti bahawa dokumen bagi penghapusan hutang peneroka Felda telah ditandatanganinya.

“Saya kemukakan sebahagian dokumen perjanjian Assignment for Financial Service Reserve Account (FSRA) terkait Jaminan Kerajaan kepada FELDA yang telah saya tandatangani,” kata Perdana Menteri dalam satu kenyataan dua perenggan yang dikeluarkan hari ini.

Sementara itu, dalam satu kenyataan berasingan, Kementerian Kewangan telah mengesahkan bahawa perjanjian FSRA telah ditandatangani oleh Anwar yang juga Menteri Kewangan pada 26 Jun 2023.

Menurut kementerian, perjanjian ini melibatkan Jaminan Kerajaan sebanyak RM9.9 bilion kepada FELDA untuk menstruktur semula pinjaman agensi tersebut melalui terbitan sukuk dan kredit pusingan dalam usaha memulihkan kedudukan kewangannya.

“Di bawah perjanjian, kerajaan akan membiayai pembayaran balik sukuk berkenaan melalui peruntukan geran RM990 juta setiap tahun untuk tempoh 10 tahun,” jelas kementerian.

Selain itu, Kementerian itu turut mengesahkan bahawa penyaluran pertama RM990 juta telah dilaksanakan pada 18 Julai 2023 selaras dengan peruntukan yang telah disediakan di dalam Belanjawan Madani 2023. 

Katanya penyempurnaan perjanjian jaminan kerajaan dan penyaluran peruntukan kepada FELDA merupakan elemen penting yang dilaksanakan Kerajaan Perpaduan bagi memastikan kelangsungan agensi itu, antara lain mengambil kira impak kepada aliran tunai dan kedudukan kewangan berikutan penghapusan hutang peneroka FELDA.

NO COMMENTS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Exit mobile version