Home Berita MCI UKM Meterai MoA Dan MoU Dengan IPT Dan Rakan Industri Di Indonesia

UKM Meterai MoA Dan MoU Dengan IPT Dan Rakan Industri Di Indonesia

KUALA LUMPUR, 20 Julai – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menandatangani dua Memorandum Perjanjian (MoA) dan satu Memorandum Persefahaman (MoU) dengan dua Institusi Pendidikan Tinggi dan satu rakan industri Indonesia di Jakarta, Indonesia.

UKM memaklumkan MoA tersebut melibatkan Fakulti Perubatan UKM dengan Fakultas Kedokteran Universitas Padjadjaran (UNPAD) serta Fakulti Pendidikan UKM dengan Fakultas Pendidikan Bahasa dan Sastra, Universitas Pendidikan Indonesia (UPI).

“Bagi MoU pula adalah jalinan kerjasama antara Pusat Pembentukan Pendidikan Lanjutan dan Profesional (UKMShape) dengan PT Tracol Asia Indonesia,” menurut kenyataan itu.

Majlis pertukaran dokumen MoA dan MoU yang diadakan itu disaksikan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bersama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam meningkatkan kerjasama di antara Institusi Pendidikan Tinggi (IPT), kedua-dua negara itu.

Majlis tersebut turut dihadiri Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Syed Md Hasrin Tengku Hussin, Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Tinggi Prof Dr Azlinda Azman dan Naib Canselor UKM Prof Datuk Dr Mohd Ekwan Toriman.

Turut hadir, Direktur Jenderal Pendidikan Tinggi Riset dan Teknologi Indonesia Prof Nizam dan Kepala Subdirektorat Kelembagaan dan Kerja Sama Direktorat Pendidikan Tinggi Keagamaan Islam Direktorat Jenderal Dr Thobib Al Asyhar Msi.

Dalam pada itu, Mohd Ekwan berkata pemeteraian MoU antara UKM dan UNPAD bertujuan memendekkan tempoh program Ijazah Doktor Perubatan UKM-UNPAD dari enam tahun kepada lima tahun, dengan dua tahun pertama proses pembelajaran dijalankan di UNPAD bagi peringkat praklinikal dan tiga tahun kedua dijalankan di UKM bagi peringkat klinikal.

Beliau berkata mahasiswa lepasan program itu akan menerima dua ijazah iaitu Sarjana Kedoktoran dari UNPAD dan Ijazah Doktor Perubatan dari UKM.

“Pelaksanaan perjanjian antara UKM dan UNPAD bagi kurikulum lima tahun ini juga tertakluk kepada condition precedent  yang telah ditetapkan dalam perjanjian iaitu untuk mendapatkan kelulusan dan semakan daripada pihak-pihak bagi memenuhi segala syarat, keperluan serta kelulusan berkaitan program disemak dan disahkan,” katanya.

Beliau berkata pemeteraian MoA antara UKM dan UPI pula bermatlamat untuk membina hubungan baik dengan universiti itu dalam aspek pengajaran dan pembelajaran, penyeliaan, penyelidikan dan penerbitan, serta pembangunan kapasiti dalam kalangan pelajar dan kakitangan.

“Antara aktiviti utama yang akan dilaksanakan sepanjang lima tahun perjanjian ini adalah kolaborasi ijazah dual di peringkat prasiswazah atau siswazah, program mobiliti pelajar dan kakitangan, kerjasama penyeliaan, penyelidikan dan penerbitan berimpak tinggi,” katanya.

Sementara itu, MoU yang ditandatangani antara UKM dengan PT Tracol Asia Indonesia adalah bagi menjalin kerjasama untuk membuka Pusat Persisir UKM di Jakarta, Indonesia.

“Melalui kerjasama ini, ia bakal menyaksikan pembukaan pusat pembelajaran pesisir kedua UKM selepas yang pertama bakal dibuka di Qatar pada hujung tahun ini. Kerjasama itu bagi memperkukuh hubungan antara kedua-dua institusi dalam pelbagai bidang pengajian pendidikan di peringkat prasiswazah dan pascasiswazah,” katanya.

Mohd Ekwan berkata pihaknya menjangkakan kira-kira 3,000 mahasiswa akan menerima manfaat daripada kerjasama ini bagi tempoh 10 tahun akan datang.

Beliau berkata terdapat 10 jurusan hasil kerjasama UKM dan PT Tracol Asia Indonesia iaitu lima jurusan di peringkat Sarjana antaranya merangkumi Program Sarjana Pendidikan TESL, Arkitek, Psikologi, Komputer Sains dan Sarjana Pengurusan Perniagaan (MBA), serta lima jurusan di peringkat Doktor Falsafah (PhD) seperti program Kejuruteraan Elektrik, Sains Komputer, Pendidikan, Ekonomi dan Arkitek.

Sementara itu, beliau berkata semua kerjasama tersebut bakal memberi impak yang besar kepada negara, khususnya kepada KPT dan UKM dalam meningkatkan keserlahan antarabangsa dengan universiti tersohor di Indonesia.

“Kerjasama ini juga akan dapat melahirkan siswazah dan kakitangan yang berdaya saing dengan pengalaman interaksi di peringkat global melalui program mobiliti atau pembinaan kapasiti, merancakkan program silang budaya yang mendorong kepada penjanaan ekonomi kepada kedua-dua negara,” katanya.

NO COMMENTS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Exit mobile version