Home Berita MCI Perkhidmatan Internet Starlink Bermula Di IPT, Sekolah

Perkhidmatan Internet Starlink Bermula Di IPT, Sekolah

KUALA LUMPUR, 21 Julai – Syarikat penyedia perkhidmatan Internet, Starlink akan memulakan perkhidmatan di institut pengajian tinggi (IPT) dan sekolah terlebih dahulu, kata Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.

Fahmi berkata perkara itu dilaksanakan sebagaimana yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim minggu lepas.

“Saya telah menyerahkan Lesen Pemberi Kemudahan dan Perkhidmatan Rangkaian kepada wakil Starlink baru-baru ini, sekali gus membenarkan syarikat itu menyediakan perkhidmatan Internet satelit di Malaysia terutama di kawasan pedalaman,” kata Fahmi menerusi catatan di Facebook beliau hari ini.

Pada 15 Julai, Perdana Menteri berkata kerajaan bercadang menggunakan 40 peranti satelit Starlink di IPT untuk menaik taraf kemudahan capaian Internet agar lebih luas dan pantas di kampus bagi memudahkan proses pembelajaran.

Anwar dilapor berkata perkara itu tercetus hasil persidangan video secara maya dengan Ketua Pegawai Eksekutif SpaceX Elon Musk baru-baru ini.

Dalam pada itu, Fahmi berkata kerajaan sedia bekerjasama dengan penyedia perkhidmatan Internet satelit termasuk Starlink ke arah mencapai 100 peratus akses Internet di kawasan berpenduduk.

Menurutnya ketika ini 97 peratus kawasan berpenduduk di Malaysia mempunyai akses Internet, manakala baki tiga peratus pula disebabkan isu geografi lokasi seperti kawasan pedalaman atau pulau terpencil yang menjadi cabaran kepada pembinaan rangkaian.

NO COMMENTS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Exit mobile version