Home Berita Lain Melaka tawar insentif istimewa tarik pelabur China sertai pelbagai sektor

Melaka tawar insentif istimewa tarik pelabur China sertai pelbagai sektor

ALOR GAJAH, 4 Jan — Kerajaan negeri Melaka menawarkan pelbagai insentif istimewa kepada pelabur dari China dalam usaha menarik pelaburan dalam pelbagai sektor termasuk industri pelancongan khususnya melibatkan kesenian dan kebudayaan.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata insiatif itu juga bertujuan memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan China sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara pada tahun ini.

“Kerajaan negeri memberi fokus untuk menarik pelabur dari China dalam semua sektor termasuk sektor pelancongan kerana Malaysia khususnya Melaka mempunyai sejarah dan hubungan yang rapat sejak 600 tahun lepas terutama pada zaman kegemilangan Laksamana Cheng Ho.

“Justeru, kerajaan negeri mengalu-alukan kedatangan lebih banyak pelabur dari China untuk melabur di Melaka dan kita akan pastikan mereka mendapat mendapat insentif istimewa yang hanya ditawarkan oleh kerajaan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Sokongan Pendidikan Edra 2023 dan Pelancaran Kempen Sumbangan Buku Edra yang turut dihadiri Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman.

Ab Rauf berkata insentif yang ditawarkan itu menjadi tarikan kepada beberapa syarikat pelaburan dari China untuk melabur di Melaka dan mengembangkan perniagaan mereka termasuk Edra Power Holdings Sdn Bhd.

Dalam pada itu, beliau berkata sempena sambutan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia dan China, Melaka akan turut menyertai sambutan berkenaan menerusi pelbagai program dan aktiviti yang telah dirangka.

Terdahulu, Program Sokongan Pendidikan Edra yang dilaksanakan sejak 2005 merupakan program pengagihan barangan persekolahan kepada murid-murid serta sumbangan kewangan kepada sekolah rendah. 

Pada program berkenaan, sebanyak 10 sekolah terpilih dalam daerah Alor Gajah menerima bantuan daripada Edra Power membabitkan bantuan baucar kasut dan beg sekolah bernilai RM120 serta bantuan kewangan kepada sekolah terbabit melibatkan peruntukan sebanyak RM4,000 hingga RM6,000 bagi setiap sekolah.

Selain itu, lebih 2,000 buah buku latihan turut disumbangkan kepada sekolah terlibat membabitkan buku bagi mata pelajaran matematik dan sains.

NO COMMENTS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Exit mobile version