Home Berita Lain Merakyatkan Kepimpinan Pentadbiran, Kerajaan Melaka Santuni Warga PDRM

Merakyatkan Kepimpinan Pentadbiran, Kerajaan Melaka Santuni Warga PDRM

ALOR GAJAH, 3 Mac — Kerajaan negeri Melaka dalam proses merakyatkan kepimpinan pentadbiran negeri untuk menyantuni penjawat awam khususnya warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam usaha menyalurkan bantuan kebajikan kepada anggota, pesara serta ahli keluarga yang memerlukan.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata inisiatif itu dilaksanakan bagi memastikan aspek kebajikan golongan itu diberikan keutamaan kerana mereka banyak berkorban masa dan tenaga demi amanah yang digalas untuk mengekalkan keselamatan, keamanan dan kesejahteraan rakyat.

“Ini merupakan salah satu inisiatif saya di bawah kepimpinan kerajaan negeri sedia ada untuk membantu mereka yang memerlukan, khususnya yang sampai kepada pengetahuan saya.

“Sebagai contoh, hari ini kita mulakan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah dan kita akan perluaskan usaha ini di dua lagi IPD di negeri ini dalam masa terdekat,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian pada Majlis Ramah Mesra Ketua Menteri Melaka bersama Warga IPD Alor Gajah yang turut dihadiri Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Pengarah Pengurusan Bukit Aman Datuk Seri Azmi Abu Kassim dan Ketua Polis Melaka Datuk Zainol Samah.

Ab Rauf berkata kerajaan negeri berbangga atas kesungguhan yang ditunjukkan oleh warga PDRM dalam memberikan perkhidmatan terbaik dan berjaya melaksanakan segala tugasan serta amanah.

Terdahulu, pada majlis itu beliau menyerahkan lima kerusi roda dan dua katil untuk kegunaan anggota PDRM yang ditimpa kemalangan semasa bertugas, pesara polis yang memerlukan dan anak anggota yang kurang upaya. 

Selain itu, kit makanan turut disumbangkan kepada balu, anak istimewa dan yang cemerlang dalam pelajaran serta anggota terlantar sakit.

Saifuddin turut menyerahkan sumbangan RM10,000 kepada IPD Alor Gajah.

NO COMMENTS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Exit mobile version