Home Berita MCI Pulau Pinang Pertingkat Usaha Lahirkan Modal Insan STEM Di Sekolah

Pulau Pinang Pertingkat Usaha Lahirkan Modal Insan STEM Di Sekolah

GEORGE TOWN, 28 Mac- Pulau Pinang akan mempertingkatkan usaha melahirkan modal insan yang menguasai pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dimulakan di peringkat sekolah rendah dan menengah.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata ia penting kerana Malaysia kini menjadi tumpuan dunia sebagai lokasi pelaburan teknologi dan selari dengan usaha dijalankan Penang Science Cluster sejak beberapa tahun lepas dengan mendekati sekolah-sekolah di negeri itu melalui pelbagai program STEM.

Beliau berkata isu modal insan STEM juga antara dibangkitkan dalam Mesyuarat Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) ke-31 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam.

“Proses untuk (mewujudkan) modal insan mengambil masa 10 hingga 15 tahun sebelum murid itu dapat menyumbang kepada industri di negara kita. Mesyuarat itu (NCIA) juga menekankan bahawa ia bukan mengenai universiti lagi, ia adalah mengenai sekolah rendah dan menengah rendah itu sendiri. Jika kita tidak bermula pada usia awal maka sudah terlambat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Journey To First Tech Challenge World Championship di Kilang Jabil Penang Plant 1 di Bayan Lepas dekat sini hari ini.

Mengenai sasaran Kerajaan Persekutan agar Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) mencatatkan RM367.8 bilion pelaburan menjelang 2030, Chow yang juga EXCO Kewangan, Pembangunan Ekonomi, Tanah dan Komunikasi berkata Pulau Pinang optimis untuk mencapai sasaran tersebut meskipun mengakui terdapat cabaran dalam peluang sedia ada.

“Ini sasaran dijangka oleh NCIA dan MIDA (Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia) serta anggaran (sasaran) ini adalah berasas dengan usaha dilakukan. Memang apa yang dianggarkan oleh NCIA selalunya rendah daripada pencapaian sebenar,” katanya

Semalam Anwar berkata kerajaan menyasarkan NCER mencatatkan RM367.8 bilion pelaburan direalisasi menjelang 2030 serta menjadi hab ekonomi dan teknologi bertaraf dunia menerusi tiga bidang tumpuan baharu iaitu Perkhidmatan Termaju, Pembuatan Bernilai Tinggi dan Pertanian Moden.

Dalam pada itu, Chow turut mengumumkan sumbangan RM10,000 kepada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Permatang Pasir dekat sini yang mewakili Malaysia dalam FIRST Tech Challenge (FTC) Robotic Competition dijadual berlangsung pada 17 hingga 24  April ini di Houston, Texas, Amerika Syarikat (USA).

Pada majlis tersebut, Jabil turut menyumbangkan RM50,000 kepada sekolah berkenaan menerusi Team Pasiran Rex sebagai dana tambahan untuk membiayai segala perbelanjaan perjalanan pelajar sekolah berkenaan bagi menyertai pertandingan antarabangsa itu.

NO COMMENTS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Exit mobile version