Home Berita MCI Beberapa Sektor Penting Dijangka Sumbang Pembangunan Pelabuhan Bintulu

Beberapa Sektor Penting Dijangka Sumbang Pembangunan Pelabuhan Bintulu

KUALA LUMPUR, 30 April – Bintulu Port Holdings Bhd (BPHB) menetapkan beberapa sektor penting yang mampu menyumbang dengan ketara kepada operasi dan pembangunan pelabuhan itu, termasuk operasi loji metanol di Kidurong, eksport biojisim, peningkatan pengendalian kapal roll-on/roll-off (RORO), simen dan arang batu.

Dalam mesyuarat agung tahunannya yang ke-28 hari ini, syarikat itu memaklumkan bahawa pengendalian kargonya mencapai 48.77 juta tan pada 2023, manakala bilangan kapal yang singgah di pelabuhannya berjumlah 7,708 pada 2023 berbanding 7,505 pada 2022, melepasi sasaran sebanyak 102 peratus.

Ia berkata pengurusan dan operasi yang cekap berjaya meningkatkan hasil sebanyak RM821.64 juta pada 2023 daripada RM819.79 juta pada 2022, dengan keuntungan selepas cukai berjumlah RM125.06 juta.

“Pertumbuhan positif itu didorong oleh perkembangan dalam pelbagai industri, khususnya sektor minyak dan gas, aktiviti marin, dan operasi RORO,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak dan Pengerusi BPHB Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki ketika mengumumkan laporan tahunan bersepadu kumpulan itu untuk 2023, berkata syarikat menunjukkan daya tahan, kebolehsuaian dan komitmen terhadap kecemerlangan walaupun menghadapi pelbagai cabaran.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan BPHB Ruslan Abdul Ghani mengumumkan strategi serampang tiga mata syarikat, iaitu meningkatkan “Perniagaan Teras Pelabuhan”, meneroka “Perniagaan Pelabuhan Yang Lebih Jauh”, dan beralih ke ruang “Karbon Rendah dan Tenaga Bersih”.

Beliau juga memperkenalkan budaya korporat baharu yang menekankan kepada keperluan pelanggan, tumpuan kepada penyelesaian, peningkatan, berfikiran untuk mencapai hasil dan dipacu nilai.

Menurut kenyataan itu, Pelabuhan Bintulu secara berterusan memainkan peranan penting sebagai pintu masuk eksport utama industri minyak dan gas.

Ia bersedia untuk menjadi hab bagi sumber biojisim, petrokimia dan tenaga hijau selaras dengan agenda tenaga bersih kerajaan negeri Sarawak, katanya.

NO COMMENTS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Exit mobile version