Home Berita MCI Malaysia Sedia Teroka Kerjasama Baharu Bersama Arab Saudi

Malaysia Sedia Teroka Kerjasama Baharu Bersama Arab Saudi

KUALA LUMPUR, 30 April – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyatakan kesediaan Malaysia untuk bersama-sama dalam Visi 2030 Arab Saudi dengan meneroka ruang kerjasama baharu dengan negara itu terutama dalam bidang tenaga boleh diperbaharui dan hidrogen.

Selain itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan turut mengalu-alukan kehadiran pelabur-pelabur dari Arab Saudi ke Malaysia untuk meneroka potensi pelaburan dalam projek bernilai tinggi.

Perkara tersebut dinyatakan ketika beliau menghadap Putera Mahkota dan Perdana Menteri Arab Saudi Mohammed bin Salman di Istana Yamamah di Riyadh sebelum berangkat pulang ke tanah air, selepas menghadiri Mesyuarat Khas Forum Ekonomi Sedunia (WEF) sejak Sabtu lepas.

“Perbincangan kami turut menyentuh hubungan perdagangan dan pelaburan kedua-dua negara. 

“Saya juga mengalu-alukan kehadiran pelabur-pelabur dari Arab Saudi ke Malaysia untuk meneroka potensi pelaburan dalam projek bernilai tinggi seperti ekonomi digital dan hijau, kecerdasan buatan (AI), tenaga bersih, pertahanan, elektrik dan elektronik serta aeroangkasa,” kata perdana menteri dalam hantaran di platform X, di sini hari ini.

Anwar turut memaklumkan Malaysia sudah bersedia untuk mempengerusikan ASEAN tahun depan termasuk menganjurkan Sidang ASEAN-Teluk (GCC)-China.

“Di akhir pertemuan, saya mengulangi jemputan buat Putera Mahkota untuk melakukan kunjungan rasmi ke Malaysia sesegera mungkin.

“Saya percaya lawatan kali ini telah memperkukuhkan lagi hubungan erat antara Malaysia dan Arab Saudi, di samping membuka pelbagai potensi pelaburan yang bakal menyumbang kepada kemakmuran rakyat Malaysia keseluruhannya, Insya-Allah,” katanya.

NO COMMENTS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Exit mobile version