Home Berita MCI Perkhidmatan Komuter Percuma Sempena Program Madani Rakyat Zon Utara

Perkhidmatan Komuter Percuma Sempena Program Madani Rakyat Zon Utara

GEORGE TOWN, 30 April – Kementerian Pengangkutan (MOT) bersama Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menyediakan perkhidmatan KTM Komuter Utara secara percuma selama dua hari bersempena Program MADANI Rakyat Zon Utara yang diadakan di Tapak Pesta Sungai Nibong di sini.

Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Darat Kementerian Pengangkutan Shazrina Mohd Hanifiah berkata perkhidmatan percuma itu disediakan pada 4 dan 5 Mei iaitu hari kedua dan terakhir program, melibatkan  perjalanan dari Padang Besar dan Ipoh ke Butterworth.

Beliau berkata langkah itu bagi memudahkan pengunjung yang tinggal di utara tanah air untuk datang memeriahkan program yang berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat ini.

“Selain komuter, perkhidmatan feri percuma turut disediakan selama tiga hari bermula 3 hingga 5 Mei (Jumaat hingga Ahad) dari Pangkalan Sultan Abdul Halim (PSAH) di Butterworth ke Pangkalan Raja Tun Uda (PRTU) di Georgetown.

“Di samping itu kita juga ada menyediakan perkhidmatan bas perantara percuma dari Universiti Sains Malaysia (USM) ke Tapak Pesta Pulau Pinang dan dari Pangkalan Weld ke Queensbay terus ke tapak pesta,” katanya dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia (SPM) terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) hari ini.

Sementara itu, Shazrina memaklumkan selaku kementerian peneraju bagi Program MADANI Rakyat Zon Utara, MOT akan membuka sebuah pavilion khas yang menempatkan 15 agensi dibawahnya di samping kementerian serta pihak berkuasa tempatan (PBT) menerusi pelbagai perkhidmatan terus kepada rakyat, termasuk kaunter bayaran saman trafik PDRM dengan tawaran diskaun sehingga 50 peratus.

Beliau berkata bersempena program itu juga pelbagai aktiviti anjuran kerajaan Pulau Pinang telah berlangsung sejak minggu lepas seperti acara larian dan bengkel berkaitan  Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Majlis perasmian penutupan Program MADANI Rakyat 2024 Zon Utara bakal disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Ahad ini yang diadakan serentak dengan Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI 2024.

Program berkenaan menumpukan kepada agenda berkaitan kesejahteraan rakyat, perpaduan, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), karnival kerjaya, pendidikan STEM serta kecerdasan buatan (AI).

Program itu anjuran Pejabat Perdana Menteri (PMO) melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) dengan kerjasama strategik MOT dan kerajaan negeri merangkumi Pulau Pinang, Kedah dan Perlis.

NO COMMENTS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Exit mobile version