Home Berita MCI Ketua PBB Gesa Tindakan Global Terhadap Operasi Ketenteraan Israel Di Rafah

Ketua PBB Gesa Tindakan Global Terhadap Operasi Ketenteraan Israel Di Rafah

HAMILTON, 1 Mei – Dalam amaran keras terhadap operasi ketenteraan di bandar Rafah, selatan Gaza, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres pada Selasa menggesa “mereka yang mempunyai pengaruh ke atas Israel” untuk menghalang lebih banyak kematian dan perpindahan orang awam selanjutnya.

“Serangan tentera ke atas Rafah akan menjadi peningkatan yang tidak tertanggung, membunuh ribuan lagi orang awam dan memaksa ratusan ribu melarikan diri,” kata Guterres pada sidang akhbar, lapor Agensi Anadolu (AA).

Ketua PBB itu menegaskan bahawa serangan tentera bukan sahaja akan memberi “impak buruk kepada rakyat Palestin di Gaza” tetapi juga kesan yang ketara di seluruh rantau itu.

Guterres menekankan keadaan yang semakin buruk di Gaza selepas 7 Okt dan berkata gesaan konsisten beliau untuk “gencatan senjata kemanusiaan, pembebasan segera dan tanpa syarat semua tahanan dan lonjakan besar dalam bantuan kemanusiaan” masih tidak didengari.

“Demi rakyat Gaza, demi tebusan dan keluarga mereka di Israel dan demi rantau ini dan dunia yang lebih luas, saya amat menggalakkan kerajaan Israel dan kepimpinan Hamas untuk mencapai persetujuan,” katanya.

Guterres melahirkan kebimbangan mengenai laporan yang hospital kini disamakan dengan tanah perkuburan selepas penemuan kubur besar.

“Saya amat bimbang dengan laporan bahawa kubur besar telah ditemukan di beberapa lokasi di Gaza, termasuk Kompleks Perubatan Al Shifa dan Kompleks Perubatan Nasser,” kata Guterres.

Menekankan kesegeraan siasatan antarabangsa bebas ke atas kubur besar itu, Guterres berkata:  “Adalah penting penyiasat antarabangsa bebas, dengan kepakaran forensik, dibenarkan akses segera ke tapak kubur besar itu untuk menentukan keadaan tepat yang menyaksikan beratus-ratus rakyat Palestin kehilangan nyawa mereka dan dikebumikan atau dikebumikan semula.

Beliau turut menyatakan golongan kanak-kanak dan individu kurang upaya mati akibat kelaparan dan penyakit di utara Gaza dan menggesa semua orang untuk “melakukan segala yang mungkin untuk mengelakkan kebuluran buatan manusia yang boleh dicegah sepenuhnya.”

Menyedari pentingnya mengenakan semua jenis tekanan untuk mengelakkan tragedi ngeri, Guterres berkata halangan terbesar untuk membantu Gaza ialah kurangnya keselamatan bagi pekerja kemanusiaan.

Beliau berkata konvoi bantuan kemanusiaan, fasiliti, kakitangan dan penerima bantuan tidak seharusnya menjadi sasaran.

Guterres turut melahirkan rasa syukur atas bantuan dari udara dan laut tetapi menegaskan bahawa kaedah itu tidak dapat menggantikan akses melalui laluan darat. Beliau mengulangi gesaan agar pihak berkuasa Israel membenarkan bantuan yang selamat, pantas dan tanpa halangan.

Mengenai Agensi Bantuan dan Kerja PBB bagi Pelarian Palestin (UNRWA), Guterres berkata agensi itu melakukan “kerja yang tidak dapat diganti dan sangat diperlukan” untuk menyokong jutaan penduduk di Gaza, Tebing Barat yang diduduki termasuk Baitulmaqdis Timur, Jordan, Syria dan Lubnan. 

Susulan laporan oleh Kumpulan Penilai Bebas mengenai keberkecualian UNRWA, beliau berkata satu pelan tindakan telah dibangunkan untuk melaksanakan cadangan tersebut. Beliau melaporkan banyak negara yang telah menggantung pembiayaan kepada UNRWA telah kembali menyambung dana.

Sambil menambah bahawa beberapa negara anggota telah mula menyokong UNRWA buat kali pertama, Guterres menyatakan walaupun mendapat sokongan daripada penderma swasta, masih terdapat jurang pembiayaan.

“Saya menyeru negara anggota, baik penderma tradisional mahupun baharu, untuk berikrar memberi sumbangan bagi memastikan kelangsungan operasi agensi,” katanya, sambil menambah bahawa kehadiran agensi itu di seluruh rantau ini adalah “sumber harapan dan kestabilan.”

Ketua PBB itu juga berkata ia adalah “masa untuk menegaskan semula harapan dan sumbangan kita  kepada penyelesaian dua negara – satu-satunya jalan yang mampan untuk keamanan dan keselamatan bagi Israel, Palestin dan rantau yang lebih luas.”

NO COMMENTS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Exit mobile version