Home Berita Lain Terminal Baharu LTSIP Mula Beroperasi Hari Ini

Terminal Baharu LTSIP Mula Beroperasi Hari Ini

KOTA BHARU, 1 Mei – Terminal baharu Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) fasa satu, mula beroperasi hari ini. 

Pengurus Besar Kanan Malaysia Airport Berhad (MAB) Kamaruzzaman Razali berkata walaupun terminal berkenaan belum siap sepenuhnya, ia dijangka menerima 30 hingga 35 penerbangan sehari dan pertambahan penumpang 4,000 ke 4,500 sehari.

Beliau berkata untuk pengoperasian fasa satu, terminal itu mampu menampung 1.5 juta penumpang manakala pembinaan fasa dua dijangka tahun ini, kelak mampu menampung empat juta penumpang.

Menurut Kamaruzzaman terminal LTSIP di bangunan lama tidak akan digunakan dan dirobohkan bagi tujuan memperluas kawasan pembinaan terminal LTSIP yang baharu.

“Tahap kemajuan pembinaan menaik taraf terminal LTSIP yang baharu berjalan dengan baik dan dijangka siap sepenuhnya pada 2027,” katanya kepada pemberita selepas meninjau pengoperasian dan pembukaan terminal LTSIP yang baharu, di sini, hari ini.

Kamaruzzaman berkata antara kemudahan dinaik taraf di terminal LTSIP baharu ialah mempunyai lebih banyak aerobridge berbanding terminal lama yang hanya memiliki tiga kemudahan itu selain laluan khas untuk penumpang antarabangsa.

Terminal baharu itu memiliki lebih 20 kaunter penerbangan, tempat meletak kenderaan bertingkat, laluan khas untuk pemandu teksi, balai bomba dan penyelamat terminal, pertambahan ruang tempat meletak kapal terbang dan sistem operasi tanpa tunai LTSIP untuk memudahkan penumpang.

Sementara itu, mengulas sama ada terminal LTSIP yang baharu itu menerima penerbangan antarabangsa dalam tempoh terdekat ini, beliau berkata ia sedia menerima penerbangan terbabit hujung tahun ini.

Beliau berkata pihaknya sedang mengadakan perbincangan lanjut untuk menerima penerbangan dari Singapura, Thailand dan Indonesia.

“Saya juga akan berbincang dengan pihak Tourism Kelantan untuk memastikan Kelantan dikenali di peringkat penerbangan antarabangsa sempena Tahun Melawat Kelantan tahun ini,” katanya.

Beliau berkata terminal LTSIP yang baharu masih belum boleh diklasifikasikan sebagai lapangan terbang antarabangsa kerana belum menerima jadual pesawat dari antarabangsa, selain ada beberapa kriteria perlu dipatuhi.

Sebelum ini, projek pembesaran dan naik taraf LTSIP melibatkan kos RM440 juta.

NO COMMENTS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Exit mobile version