Home Berita Lain Pembinaan Hospital Angkatan Tentera Kem Terendak Bermula Julai Ini

Pembinaan Hospital Angkatan Tentera Kem Terendak Bermula Julai Ini

MELAKA, 2 Mei – Pembinaan bangunan baharu Hospital Angkatan Tentera Kem Terendak di sini akan bermula pada Julai depan dan dijangka siap pada 2028, menurut Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata bagi pelaksanaan projek tersebut, bangunan hospital sedia ada yang berusia lebih 60 tahun akan diruntuhkan bagi pembinaan hospital baharu melibatlkan kos keseluruhan berjumlah RM325 juta.

“Pada awalnya kerajaan memutuskan menaik taraf dan membina bangunan tambahan, namun setelah kajian struktur dilakukan secara mendalam, didapati lebih baik dibina hospital baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja dan menghadiri Majlis Ramah Mesra Aidilfitri bersama warga Angkatan Tentera Kem Terendak yang turut dihadiri Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan.

Mohamed Khaled berkata sepanjang kerja-kerja pembinaan hospital itu, perkhidmatan kesihatan di Kem Terendak dijangka terjejas kerana beberapa perkhidmatan terpaksa dipindahkan ke bangunan sementara dan bakal menimbulkan ketidakselesaan kepada pesakit.

“Hospital ini bukan sahaja memberikan perkhidmatan kepada warga di sini tetapi juga kepada veteran dan orang ramai. Jadi tentunya sepanjang tempoh untuk menyiapkannya, perkhidmatan yang sempurna sedikit sebanyak akan terjejas,” katanya.

Menurutnya projek hospital yang melibatkan 150 katil itu akan menyediakan kemudahan antaranya perkhidmatan pakar, pergigian dan kesihatan awam.

NO COMMENTS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Exit mobile version