Home Berita Lain Perkhidmatan Jet Di Subang Mula Beroperasi Pada Suku Ketiga 2024

Perkhidmatan Jet Di Subang Mula Beroperasi Pada Suku Ketiga 2024

KUALA LUMPUR, 2 Mei – Perkhidmatan jet di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) di Subang akan mula beroperasi pada suku ketiga tahun ini, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Beliau berkata LTSAAS kini sedang menjalani pengubahsuaian dan pelarasan diuruskan oleh Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).

“Ia hanya untuk fasa pertama iaitu bagi tempoh tiga tahun pertama, bagi jangka sederhana, terminal baharu di Subang akan dibina bagi menggantikan Terminal Skypark,” katanya kepada pemberita selepas perasmian kemudahan penyelenggaraan, pembaikan, dan baik pulih (MRO) baharu Execujet di Subang, hari ini.

Hangar Execujet seluas 149,500 kaki persegi terletak di Subang boleh memuatkan sehingga 15 jet perniagaan sederhana dan besar secara serentak termasuk kabin ultra-besar Dassault Falcon 6X dan Falcon 10X.

Loke berkata terminal baharu itu akan mengambil masa sekurang-kurangnya tiga tahun untuk disiapkan, justeru beberapa pelarasan sedang dibuat untuk operasi jet dimulakan dengan segera.

Beliau juga berpendapat industri penerbangan merupakan antara industri yang paling pesat berkembang di rantau Asia Pasifik bukan sahaja untuk syarikat penerbangan komersial tetapi juga untuk segmen jet perniagaan.

“Ia adalah segmen yang sangat penting, oleh itu kita berpotensi menarik segmen khusus (jet perniagaan) ini. Malaysia berpotensi untuk menjadi hab MRO di rantau Asia Pasifik.

“Asia Pasifik ialah pasaran penerbangan perniagaan ketiga terbesar dan paling pesat berkembang di dunia selepas Amerika Utara dan Eropah,” katanya.

Selain itu, beliau berkata Asia Pasifik dijangka akan menyumbang 11 peratus daripada semua penghantaran jet perniagaan baharu dalam tempoh lima tahun akan datang, memacu permintaan untuk MRO penerbangan perniagaan.

Menerusi Pelan Penjanaan Semula Lapangan Terbang Subang (SARP), Loke berkata Malaysia menyasarkan untuk menguasai perniagaan penyelenggaraan pesawat untuk perniagaan dan jet peribadi dari rantau ini seperti Singapura, Thailand, Indonesia, Hong Kong dan Filipina.

Beliau juga berkata kementerian mengalu-alukan lebih ramai pelabur datang ke Malaysia untuk melabur dalam industri aeroangkasa khususnya di Subang yang boleh menyumbang ke arah ekosistem aeroangkasa yang lebih besar.

Mengenai Skypark Link, Loke berkata kerajaan tidak pernah mengabaikan terminal kereta api itu dan ia masih diselenggara walaupun perkhidmatan itu telah digantung, ia akan disambung semula kelak.

NO COMMENTS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Exit mobile version