Home Berita Lain 29 maut dalam kejadian ribut paling buruk di selatan Brazil

29 maut dalam kejadian ribut paling buruk di selatan Brazil

SAO PAULO — Dua puluh sembilan orang maut dan 60 orang lagi hilang selepas hujan lebat, banjir dan gelongsoran lumpur melanda negeri Rio Grande do Sul, di selatan Brazil, kata Gabenornya Eduardo Leite pada Khamis, lapor Xinhua.

“Malangnya, kami tahu angka korban ini akan meningkat,” kata Leite yang menjelaskan ribut kali ini adalah bencana alam paling buruk dalam sejarah negeri ini yang merupakan pengeluar hasil pertanian dan ternakan utama di Brazil.

Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva pada Khamis melawat Santa Maria, sebuah daripada bandar di negeri itu yang teruk dilanda bencana dan bertemu Leite. Lula menawarkan pembiayaan dan bantuan persekutuan bagi menangani keadaan darurat di negeri yang bersempadan dengan Argentina dan Uruguay itu.

“Tidak akan ada kekurangan bantuan daripada Kerajaan Persekutuan untuk menjaga kesihatan, tiada kekurangan wang untuk menjaga pengangkutan dan makanan, semuanya dalam capaian sama ada menerusi menteri, masyarakat madani atau tentera kita, kami akan memberikan komitmen sepanjang masa supaya boleh memenuhi keperluan asas penduduk yang terperangkap di dalam hujan,” kata presiden.

Dengan hujan diramalkan berterusan, Gabenor menggesa penduduk supaya bergerak ke kawasan yang lebih tinggi dan menjauhi kawasan mudah banjir yang dikenal pasti oleh agensi pertahanan awam.

Kira-kira 4,400 penduduk telah dipindahkan tetapi ribuan lagi yang menanti untuk diselamatkan daripada rumah mereka yang ditenggelami air, katanya.

Menurut sebuah buletin pertahanan awam, 154 bandar terjejas akibat bencana alam itu. 

NO COMMENTS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Exit mobile version