Home Berita MCI PRK KKB: UMNO gerak seluruh jentera bantu calon PH

PRK KKB: UMNO gerak seluruh jentera bantu calon PH

KUALA LUMPUR, 3 Mei — Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO hari ini membuat ketetapan untuk memberikan komitmen penuh bagi membantu calon Pakatan Harapan (PH) yang mewakili Kerajaan Perpaduan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB) yang sedang berlangsung.

 Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dalam kenyataan memaklumkan untuk itu,  jentera Bahagian daripada seluruh Selangor dan negeri yang diterajui parti digerakkan bagi membantu calon berkenaan.

Pada PRK yang diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lepas akibat kanser, Pang Sock Tao (PH) ditentang tiga pencabarnya iaitu Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional), Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (Bebas).

Hari pengundian bagi PRK berkenaan ditetapkan pada 11 Mei ini, manakala pengundian awal pada Selasa depan.

Selain itu, Asyraf Wajdi berkata UMNO turut menyambut baik dan menyokong penuh pengumuman  Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menaikkan gaji penjawat awam lebih 13 peratus bermula Disember ini. 

“Ini pastinya mampu menyantuni harapan dan aspirasi penjawat awam sejak sekian lama,” katanya.

Pada Rabu lepas, Perdana Menteri mengumumkan kenaikan gaji penjawat awam lebih 13 peratus bermula Disember ini yang melibatkan peruntukan lebih RM10 bilion.

Selain itu, beliau berkata sambutan ulang tahun UMNO ke-78 pada 11 Mei ini akan diadakan serentak di seluruh negara melalui Badan Perhubungan UMNO negeri-negeri.

“Ibu Pejabat UMNO bersama dengan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan akan mengadakan majlis solat hajat, bacaan Yasin dan doa selamat di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur,” katanya.

NO COMMENTS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Exit mobile version