Home Berita Lain Jemaah Menteri Wakil Satu Kampung: Perlu Perincian Agar Pelaksanaan Berkesan

Jemaah Menteri Wakil Satu Kampung: Perlu Perincian Agar Pelaksanaan Berkesan

PUTRAJAYA, 8 Mei – Seruan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang meminta Jemaah Menteri dan ketua-ketua jabatan mewakili sebuah kampung agar masalah disalurkan secara terus kepada platform yang tepat merupakan inisiatif baik, namun perlu perincian agar pelaksanaan lebih berkesan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata kriteria berkenaan perkara itu dijangka dinyatakan oleh Anwar dalam mesyuarat Kabinet esok sebelum sebarang maklum balas mengenai pendekatan itu dapat dibuat.

“Mungkin esok mesyuarat Kabinet akan dinyatakan (cadangan itu) dan dapat melihat kriteria supaya dapat memberi maklum balas sama ada itu cara terbaik,” katanya kepada media selepas majlis Jalinan Kasih Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bersama kumpulan sasar di sini hari ini.

Nancy berkata inisiatif seumpama itu telah bermula melibatkan ketua setiausaha (KSU) kementerian menerusi program Satu KSU Satu Kampung dan cadangan berkenaan kini diperluas kepada Jemaah Menteri dan ketua-ketua jabatan, namun perlu perbincangan lanjut memandangkan ia merupakan usaha baik.

Semalam, Perdana Menteri dalam perhimpunan bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) meminta menteri-menteri dan ketua-ketua jabatan segera mengemukakan nama kampung yang diwakili agar masalah keciciran dan pengganguran dapat ditangani secara berkesan. 

NO COMMENTS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Exit mobile version