Home Berita MCI Kaamatan Kekal Sebagai Platform Pupuk Perpaduan

Kaamatan Kekal Sebagai Platform Pupuk Perpaduan

TUARAN, 9 Mei – Pesta Kaamatan kekal sebagai platform terbaik bagi memupuk perpaduan dan persaudaraan dalam kalangan masyarakat majmuk di Sabah, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Justeru, beliau menyeru rakyat tanpa mengira kaum dan agama agar terus bersatu padu, saling menghormati dan tidak mudah dipengaruhi dengan anasir yang boleh memudaratkan perpaduan.

“Apa yang penting, sokongan rakyat kepada kerajaan tidak boleh goyah agar pembangunan boleh dilaksanakan di negeri ini,” katanya pada majlis Pesta Keaamatan Daerah Tuaran 2024 di Dewan Dewan Tun Hamdan, Tamparuli di sini hari ini.

Beliau berkata kerajaan negeri akan terus memberi sokong kepada semua perayaan kebudayaan dan agama kerana keunikan budaya serta tradisi di Sabah merupakan aset penting kepada rakyat.

Dalam konteks pembangunan, Hajiji menggesa semua wakil rakyat supaya turun padang mendekati akar umbi di kawasan masing-masing sekali gus menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat. 

“Jangan tunggu masalah timbul, sebaliknya sentiasa dekat dengan rakyat. Begitu juga bagi semua pagawai daerah dan petugas di jabatan berkaitan perlu proaktif dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan kepada mereka,” katanya.

Hajiji berkata tema Pesta Kaamatan tahun ini ‘Kaamatan Melangkaui Keterjaminan Makanan’ selaras dengan komitmen kerajaan untuk meningkatkan keterjaminan makanan Sabah, selain sebagai peringatan kepasa semua pihak agar terus berkerja keras meningkatkan hasil dan mengekalkan sumber makanan negeri.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman itu mengulangi komitmen kerajaan negeri untuk meningkatkan hasil pertanian khususnya Tahap Sara Diri (SSL) komoditi padi.

“Selain menghidupkan semula Lembaga Padi dan Beras Sabah, saya berharap mereka yang mempunyai tanah yang luas termasuk sawah terbiar akan memajukan tanah mereka memandangkan kerajaan negeri telah memberi insentif untuk berbuat demikian, terutama bagi penanaman padi tahun ini,” katanya.

Turut hadir pada majlis itu Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah merangkap ADUN Tamparuli Datuk Jahid Jahim, Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar yang juga ADUN Kiulu Datuk Joniston Bangkuai dan Ahli Parlimen Tuaran Datuk Seri Madius Tangau.

NO COMMENTS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Exit mobile version