Home Berita Lain Smart Paints Labur RM100 Juta Buka Kilang Di Batu Gajah

Smart Paints Labur RM100 Juta Buka Kilang Di Batu Gajah

BATU GAJAH, 9 Mei – Pembukaan kilang cat, Smart Paints Manufacturing Sdn Bhd yang terletak di Kawasan Perindustrian Bemban di sini mampu mengukuhkan reputasi Perak sebagai hab pengeluaran produk berkualiti.

Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata pembangunan kilang ini membabitkan pelaburan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM100 juta dengan dilengkapi teknologi terkini dan sistem automasi Industri 4.0.

Katanya pembangunan dan pengoperasian kilang cat jenama tempatan itu menandakan satu lagi titik penting dalam landskap industri negeri Perak.

“Produk yang dihasilkan oleh kilang Smart Paints di Perak ini juga akan membuka peluang untuk pasaran eksport ke negara-negara Asia Tenggara.

“Ia sejajar dengan komitmen dan kesungguhan syarikat menuju kemajuan inovasi dan teknologi semasa bagi meningkatkan kecekapan dan produktiviti,” katanya dalam ucapan pada majlis perasmian kilang itu di sini hari ini.

Saarani berkata kewujudan kilang cat itu juga berupaya menggalakkan lagi aktiviti nilai tambah kepada penggunaan sumber mineral sedia ada di negeri ini khususnya batu kapur atau kalsium karbonat.

Katanya pembangunan kilang itu dilihat dapat memberi nilai tambah kepada sumber mineral negeri bagi menggalakkan pengeluaran produk berkualiti dan mengelak sumber berkenaan hanya dieksport ke luar negara tanpa sebarang proses dan aktiviti hiliran. 

“Usaha ini seiring dengan agenda pelan pembangunan negeri iaitu Pelan Perak Sejahtera 2030 dan Pelan Perindustrian Perak yang diterajui InvestPerak yang akan melonjakkan pertumbuhan ekonomi dan prestasi sektor perindustrian negeri bagi tempoh 10 tahun,” katanya.

NO COMMENTS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Exit mobile version