Home Berita Lain Bawang Perak Dipasarkan Ke Seluruh Negara

Bawang Perak Dipasarkan Ke Seluruh Negara

GOPENG, 10 Mei – Lebih 3.3 tan metrik bawang merah kecil BAW-1 yang bakal dijenamakan sebagai Bawang Perak akan dipasarkan ke seluruh outlet Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata bawang yang dituai pada 3 dan 17 April lepas oleh Jabatan Pertanian Negeri Perak telah diserahkan kepada FAMA negeri bagi tujuan pemasaran ke peringkat pengguna. 

“Bawang ini dijual pada harga RM10 hingga RM12 sekilogram seperti harga bawang yang diimport sebab kita nak lihat sambutan, selepas ini apabila berlaku lambakan dan tidak lagi perlu mengimport bawang, harga akan lebih rendah. 

“Bawang Perak ini mempunyai kelebihan tersendiri berbanding bawang import yang berada di pasaran ketika ini seperti dari segi kesegaran, kerangupan, warna isinya yang lebih merah dan aroma yang kuat,” katanya pada sidang media di sini hari ini. 

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan simbolik penyerahan Bawang Perak daripada Jabatan Pertanian Negeri Perak kepada FAMA Perak pada majlis Ramah Mesra dan Semarak Aidilfitri Jabatan Pertanian Negeri Perak di RTC Gopeng dekat sini hari ini.

Pada 3 April lepas, Perak dilaporkan menjadi negeri pertama di Malaysia berjaya menuai hasil bawang tempatan jenis BW1 yang dihasilkan oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) melalui Program Pembangunan Tanaman Bawang di Kampung Ladang Bikam, Sungkai. 

Projek Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dengan kerjasama Jabatan Pertanian Negeri itu dilaksanakan secara tiga fasa di kawasan seluas satu hektar, menyasarkan pengeluaran hasil kira-kira empat tan metrik setiap hektar.

Saarani berkata memandangkan projek rintis penanaman bawang kecil itu bermula di Perak, kerajaan negeri berhasrat menjenamakan bawang merah kecil berkenaan sebagai Bawang Perak bagi membezakan dengan bawang-bawang import lain yang berada di pasaran. 

“Projek ini telah bermula pada awal tahun lepas melibatkan skala prakomersial hingga 2025 dan skala komersial akan mula dilaksanakan pada 2026 hingga 2030.

“KPKM telah menyasarkan pengeluaran bawang berjumlah 14,470 tan metrik menjelang 2030 membabitkan kawasan penanaman seluas 1,447 hektar dan kita telah kenal pasti lokasi yang sesuai seluas lapan hektar melibatkan daerah Batang Padang dan Kinta,” katanya. 

Dilaporkan, pada 2022 jumlah import bagi dua jenis bawang iaitu bawang besar dan bawang kecil adalah 685,400 tan dengan nilai sebanyak RM1.58 bilion.

Berdasarkan data statistik berkenaan, Malaysia mengimport bawang sebanyak 525,055.37 tan dengan nilai RM944,990,373 dari 20 negara dengan jumlah import tertinggi adalah dari India iaitu 321,776.16 tan, Belanda (77,772.55 tan), China (47,165.48 tan), Pakistan 42,957.62 tan, Thailand 12,186.52 tan serta lain-lain negara.

NO COMMENTS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Exit mobile version