Home Berita MCI Projek Pembangunan Semula Stesen KL Sentral Akan Bermula Akhir Tahun Ini

Projek Pembangunan Semula Stesen KL Sentral Akan Bermula Akhir Tahun Ini

KUALA LUMPUR, 10 Mei – Projek pembangunan semula Stesen Kuala Lumpur Sentral (KL Sentral) akan bermula akhir tahun ini, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Beliau berkata Kementerian Pengangkutan akan bekerjasama dengan Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB) bagi melaksanakan projek itu.

“Stesen itu akan menjalani penambahbaikan untuk menjadikannya lebih moden, cekap dan dihubungkan dengan lancar ke kawasan sekitar.

“Penambahbaikan ini akan melibatkan kerja menaik taraf, mereka bentuk semula, penggunaan semula dan usaha membina semula untuk mencapai tahap pembinaan yang lebih moden dan canggih,” kata Loke kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan Menara Sentral RAC, di sini, hari ini.

Beliau juga berkata projek pembangunan semula itu secara dasarnya telah mendapat kelulusan Kabinet pada Ogos tahun lepas lalu untuk membaik pulih Stesen KL Sentral melalui inisiatif Perkongsian Awam-Swasta.

Pemaju projek, MRC, akan melaksanakan pembangunan dengan peruntukan belanja melebihi RM1.0 bilion dan kerajaan tidak akan menanggung sebarang kos bagi pembangunan semula itu.  

“Perbincangan dengan Unit Kerjasama Awam Swasta (Ukas), yang berada di bawah Jabatan Perdana Menteri, sedang dijalankan,” katanya.

Loke juga menerangkan tentang rancangannya bagi kawasan KL Sentral, memperincikan inisiatif komprehensif untuk menghubungkan kepada semua bangunan bagi menambah baik mobiliti dan akses awam.

“Rangkaian yang saling berkaitan ini akan membolehkan peralihan lancar antara titik berbeza dalam kawasan itu bagi memudahkan pergerakan orang ramai,” katanya.

NO COMMENTS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Exit mobile version