KANGAR: Raja Muda Perlis,Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan supaya Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs)melalui Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM)membuka peluang kepada golongan asnaf di negeri itu untuk mempelajari seni pembuatan tengkolok.

Titah baginda kepakaran itu dapat digunakan oleh golongan berkenaan untuk menjana pendapatan keluarga mereka.

“MAIPs menyasarkan seramai 10 orang asnaf untuk diberikan latihan berkenaan dan masih dalam proses pencarian mereka yang berpotensi oleh ATAM dengan kerjasama beberapa jabatan dan agensi berkaitan,”titah baginda.

Baginda yang juga Yang Dipertua MAIPs bertitah demikian selepas berkenan berangkat menghadiri Program Hijrah Minda MAIPs Bilangan ke-22 bagi tahun 2019 yang diadakan di Masjid Al Rahim,Kampung Titi Tok Bandar,Kangar.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs Mohd Nazim Mohd Noor.

Pada 4 September lepas,Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berkenan melancarkan Tengkolok “Putra Julang Darjat”yang akan mula dipakai pada adat istiadat diraja dan majlis-majlis rasmi serta separa rasmi di negeri Perlis bagi menggantikan Tengkolok ‘Dendam Tak Sudah’.

Tengkolok berkenaan pernah dipakai oleh Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail ketika istiadat pertabalan baginda pada 1949.

Dalam pada itu,Mohd Nazim berkata,sebagai persiapan sempena sambutan ulang tahun keputeraan Tuanku Raja Perlis pada 12 Oktober ini,ATAM menyediakan perkhidmatan sewaan set tengkolok,sampin dan bengkung pada harga RM60 untuk petugas di Istana Arau dan set itu juga boleh ditempah pada harga RM350.

“Mereka yang telah mempunyai tengkolok dan ingin mengubah ikatan kepada Tengkolok ‘Putra Junjung Darjat’boleh berbuat demikian dengan upah RM80,”katanya. – BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here