ANKARA, 23 Sept — Projek Tenaga Termal Hunutlu, projek terbesar China menerusi pelaburan langsung di Turki, secara rasmi memulakan pembinaan pada Ahad di selatan wilayah Adana, lapor agensi berita Xinhua.

Projek dengan jumlah pelaburan sebanyak US$1.7 bilion itu khususnya daripada Syarikat Tenaga Elektrik Shanghai, merupakan satu projek perdana yang menghubungkan Inisiatif Jalur dan Jalan yang dicadangkan China dengan wawasan “Koridor Tengah” Turki.

Prorjek itu, termasuk pembinaan loji kuasa dan pelabuhan yang direka khas bagi pengangkutan arang batu, dijangka memiliki kapasiti sebanyak 1,320 megawatt selepas siap.

Ia juga dijangka menjana sejumlah sembilan bilion kilowatt jam setiap tahun selepas beroperasi penuh, menyumbang sebanyak tiga peratus daripada semua bekalan elektrik di seluruh Turki.

Gabenor Adana Mahmut Demirtas, yang menghadiri majlis pecah tanah projek itu, berkata projek loji kuasa Hunutlu yang menggunakan teknologi maju dunia, akan memberikan sumbangan besar kepada ekonomi Turk dan komuniti tempatan.

Projek itu, yang turut berusaha memelihara persekitaran dan warisan tempatan, akan menjadi penanda aras dalam kerjasama China-Turki, katanya.

Wang Yundan, CEO Syarikat Tenaga Ëlektrik Shanghai, berkata beliau berhasrat membina sebuah loji kuasa yang bersih dan boleh dipercayai dengan kecekapan tinggi, yang juga dijangka membantu merangsang ekonomi Turki, meningkatkan peluang pekerjaan dan mempromosi penjanaan tenaga lestari.

Projek itu dirancang memulakan fasa pertama operasi pada akhir 2021.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here