SEREMBAN, 24 Sept (Bernama) — Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Negeri Sembilan menyasarkan kehadiran 50,000 pengunjung pada pameran MATTA (MATTA Fair) 2019 kali ke-23, yang akan berlangsung selama tiga hari bermula 25 Okt ini di Palm Mall, Seremban, di sini.

Pengerusi MATTA Negeri Sembilan, Lee Fook Moi berkata sasaran itu ditingkatkan berbanding 30,000 pengunjung tahun lepas memandangkan jumlah pempamer kali ini bertambah kepada 75 berbanding 67 pempamer pada tahun lepas.

“Kita juga sasarkan jualan RM5 juta berbanding RM3 juta pada tahun lepas. Jadi dalam mencapai sasaran ini, kita tampilkan National Tourism Organisations termasuk Tourism Acheh di samping mempromosikan produk pelancongan Negeri Sembilan,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Turut hadir Penasihat MATTA Fair Negeri Sembilan Mohd Azri Abd. Razak.

Tambahnya, penyertaan Tourism Acheh pada kali ini membuka peluang kepada MATTA Fair Negeri Sembilan memperkenalkan Negeri Sembilan kepada Acheh dan dalam masa yang sama mempromosikan Acheh di sini.

Sementara itu, Mohd Azri berkata MATTA Fair kali ini bukan sekadar menjual pakej percutian semata-mata tetapi turut mempromosikan Negeri Sembilan.

“Negeri Sembilan banyak produk yang mungkin orang lain tidak ada, kita ada macam Muzium Angkatan Tentera, kebudayaan dan sebagainya,” katanya.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here