PUTRAJAYA, 27 Sept (Bernama) — Kementerian Kewangan (MOF) menyambut baik penghentian caj urus niaga yang dikenakan bank komersial terhadap transaksi tunai dan cek bagi pembayaran kad kredit dan bayaran balik pinjaman melalui kaunter sehingga RM2, dan sehingga 50 sen melalui mesin deposit tunai (CDM).

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata kesediaan Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM) menerima nasihat MOF supaya mendengar pandangan orang ramai dan pengguna berkenaan isu itu wajar dipuji.

Beliau berkata caj tersebut mula dikenakan pada Disember 2017 bagi mempromosikan peralihan kepada e-pembayaran namun ia membebankan golongan berpendapatan rendah dan mereka yang kekurangan akses kepada Internet untuk menjalankan perbankan dalam talian dan secara mudah alih.

“Penghentian caj tersebut pada 26 Sept menunjukkan komitmen bank komersial untuk memenuhi keperluan pengguna dengan menggunakan teknologi terkini tanpa membawa bebanan kewangan.

“ABM menunjukkan bahawa mereka tidak obses untuk mengaut keuntungan daripada yuran dan caj tersebut dengan memansuhkannya buat kali pertama sejak diperkenalkan pada 2017,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, ABM mengumumkan bank-bank kini menghentikan mengenakan fi untuk bayaran secara cek dan tunai bagi pembayaran balik kad kredit dan pembiayaan di kaunter dan CDM.

“Pada masa ini, terdapat segmen pelanggan tertentu yang telah dikecualikan daripada caj ini, seperti untuk orang kurang upaya dan warga emas.

“Bagi pelanggan yang datang sendiri, terdapat alternatif yang mudah dan percuma untuk menjalankan urus niaga perbankan dan mendapatkan perkhidmatan seperti yang disediakan melalui mesin juruwang automatik,” menurut persatuan itu dalam kenyataan.

Awal minggu ini, Persatuan Pengguna Pulau Pinang dan Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank mengkritik langkah yang membenarkan bank-bank untuk mengenakan caj 50 sen bagi penggunaan mesin deposit cek dan RM2 untuk urus niaga di kaunter, mulai bulan depan.

Sebagai respons kepada kritikan itu, ABM pada Selasa berkata fi itu untuk mendorong pelanggan menggunakan platform perbankan dalam talian.

ABM mewakili 26 bank-bank perdagangan di negara ini.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here